Kunjungan Hormat KSU KPT Kepada Peguam Negara Perkukuh Kerjasama Perundangan Pendidikan Tinggi

23 September 2026 I Putrajaya
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Peguam Negara, YBhg. Tan Sri Mohd Dusuki bin Mokhtar bagi memperkukuh hubungan dan kerjasama antara KPT dan Jabatan Peguam Negara (AGC), khususnya dalam perkara berkaitan perundangan dan tadbir urus ekosistem pendidikan tinggi di Putrajaya hari ini.
Dalam kunjungan tersebut, antara perkara yang dibincangkan adalah pembaharuan kerangka perundangan pendidikan tinggi, termasuk penelitian terhadap cadangan One Higher Education Act (OHEA), serta penambahbaikan Memorandum of Understanding (MoU) dan Memorandum of Agreement (MoA) bagi kerjasama antara Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dengan institusi asing.
Perbincangan turut menyentuh kerjasama pembangunan kapasiti TVET ASEAN melalui inisiatif EU-ASEAN Sustainable Connectivity Package – Higher Education Programme (SCOPE-HE) yang melibatkan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT).
Kunjungan ini mencerminkan komitmen berterusan KPT dan AGC dalam memperkukuh kerangka perundangan, tadbir urus serta kerjasama strategik pendidikan tinggi bagi memastikan sektor pendidikan tinggi negara terus responsif terhadap keperluan semasa dan cabaran masa hadapan.
Kunjungan ini turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Encik Ahmad Rizal bin Adnan, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Prof. Dr. Azlinda binti Azman, Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi, YBrs. Prof. Dr. Harshita Aini binti Haroon, Penasihat Undang-Undang KPT, Puan Fatin binti Khazin serta wakil Bahagian Hubungan Antarabangsa KPT.
- Last updated on .
- Hits: 477
