Pendapatan Progresif Jadi Fokus Persidangan Meja Bulat Majlis Penasihat Industri Politeknik 2023

Pendapatan Progresif Jadi Fokus Persidangan Meja Bulat Majlis Penasihat Industri Politeknik 2023
English translation not available for this content.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin telah mempengerusikan Majlis Persidangan Meja Bulat YB Menteri Pendidikan Tinggi Bersama Majlis Penasihat Industri Politeknik (PIAC) 2023 di sini pagi tadi.

Persidangan tahunan tersebut telah mengumpulkan 20 orang ketua industri (Captains of Industry) dalam sebuah sesi dialog bagi memberi input serta cadangan kepada Politeknik seiring dengan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12).

Bertemakan ‘Memperkasa Pembangunan Bakat TVET Masa Hadapan Ke Arah Pekerjaan Bermakna dan Pendapatan Progresif’, YB Menteri dan kesemua peserta PIAC 2023 turut menyenaraikan pelbagai strategi dan kaedah berteraskan ekosistem TVET dalam merealisasikan aspirasi Ekonomi MADANI.

YB Menteri ketika menyampaikan amanat pada persidangan ini berkata, menjelang tahun 2030, KPT mensasarkan 95 peratus graduan politeknik akan mendapat pekerjaan selepas enam bulan menamatkan pengajian, sambil 20 peratus daripada mereka mampu peroleh pendapatan premium sesuai kelayakan akademik masing-masing.

Antara ketua industri yang hadir pada persidangan ini adalah terdiri daripada 12 bidang keutamaan 36 Politeknik di Malaysia seperti Kejuruteraan Awam dan Seni Bina; Kejuruteraan Mekanikal; Kejuruteraan Elektrikal; Kejuruteraan Petrokimia; Pelancongan dan Hospitaliti; Pengurusan dan Perdagangan; Teknologi Maklumat; Keusahawanan; Pengajian Perkhidmatan; Agroteknologi dan Bio-Industri: dan badan-badan Akreditasi.

Pada majlis sama, YB Menteri turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dengan 18 buah syarikat serta turut melancarkan Coffee Table Book bertajuk “Industri @ POLYCC” yang merupakan buku kompilasi kolaborasi JPPKK bersama dengan industri sejak tahun 2020 hingga kini.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) Dasar KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; TKSU (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Dr. Mohd. Zabri Yusoff; Ketua Pengarah JPPKK, Dr. Haji Mohd Zahari Ismail; dan Pengerusi Majlis Penasihat Industri Politeknik, YBhg. Tan Sri Dato' Sri Sufri Hj. Mohd Zin.

  • Last updated on .
  • Hits: 1637
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Thursday 25 July 2024, 04:35:17.

sirim-logo