Pembangunan Fasiliti Politeknik Ibrahim Sultan Dipergiat bagi Sokong Ekosistem TVET

21 April 2026 | Pasir Gudang, Johor
Kesejahteraan mahasiswa terus menjadi keutamaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui pemerkasaan infrastruktur pendidikan yang kondusif dan selamat.
Usaha tersebut dizahirkan menerusi lawatan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan ke Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) pada 17 April lalu.
Lawatan tersebut bertujuan meninjau kemajuan projek pembangunan yang sedang dilaksanakan di PIS bagi memastikan pelaksanaannya berjalan mengikut perancangan.
Antara fokus utama ialah meninjau Projek Menaik Taraf Kemudahan dan Fasiliti Asrama yang dijangka siap pada tahun 2027.
Projek itu akan memberikan manfaat langsung kepada mahasiswa melalui penyediaan kemudahan yang lebih selesa, moden dan selamat.
KPT bersama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) terus komited memastikan pelaksanaan projek pembangunan dilaksanakan secara cekap dan berimpak tinggi.
Inisiatif tersebut juga selari dengan usaha memperkukuh pendidikan dan latihan teknikal vokasional (TVET) di peringkat komuniti.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) JPPKK, Hj. Ulaimi Yahya; Timbalan Setiausaha Bahagian (Seksyen Pembangunan), Bahagian Pembangunan KPT, Dr. Fary Akmal Osman; dan Menjalankan Tugas Pengarah PIS, YM Tengku Nazion Tengku Ibrahim.
- Last updated on .
- Hits: 86
