Memorandum Persefahaman MPM-UA: Langkah Strategik Luaskan Akses Peperiksaan Negara di Luar Negara

Memorandum Persefahaman MPM-UA: Langkah Strategik Luaskan Akses Peperiksaan Negara di Luar Negara
English translation not available for this content.

21 April 2026 | Putrajaya

​Peluasan akses pentaksiran pendidikan negara ke persada antarabangsa menjadi agenda utama dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab kecemerlangan akademik global.

​Langkah tersebut direalisasikan melalui Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) bersama 17 Universiti Awam yang berlangsung di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) petang tadi.

Disaksikan oleh Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim, kerjasama strategik tersebut bertujuan membina jaringan erat bagi pelaksanaan ujian Malaysian University English Test (MUET) dan peperiksaan kelolaan MPM yang lain di peringkat antarabangsa secara lebih efisien.

​Melalui perjanjian persefahaman itu, universiti-universiti tempatan akan bertindak sebagai rakan strategik dalam menyediakan infrastruktur dan kepakaran bagi menyokong operasi peperiksaan di luar negara.

Prakarsa tersebut bakal menyaksikan penjenamaan peperiksaan Malaysia seperti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan MUET mendapat pengiktirafan lebih meluas terutamanya di negara-negara seperti China dan Indonesia.

​Penggunaan sumber guna sama antara universiti awam dan MPM turut akan mengoptimumkan kos pengurusan pusat peperiksaan di luar negara tanpa perlu pembukaan pejabat cawangan secara berasingan.

​Agenda pengantarabangsaan itu juga merupakan sebahagian daripada transformasi berterusan bagi memastikan sistem pentaksiran negara kekal kompetitif dan relevan dengan keperluan pasaran kerja global.

​Kejayaan tersebut mencerminkan komitmen KPT dalam memartabatkan kualiti pendidikan tinggi negara melalui kolaborasi pintar antara agensi dan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

​Kerjasama tersebut dijangka akan menarik lebih ramai pelajar antarabangsa untuk mengikuti sistem pendidikan Malaysia melalui pendedahan awal terhadap standard pentaksiran kebangsaan.

​Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia merangkap Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Dato' Dr. Md Amin Md Taff; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dato' Dr. Mohd Azam Ahmad; dan Ketua Eksekutif MPM, Badrul Hisham Abdullah. 

  • Last updated on .
  • Hits: 89
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 24 April 2026, 08:22:27.

sirim-logo