Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Bilangan 1 Tahun 2023

Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Bilangan 1 Tahun 2023
English translation not available for this content.

Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) atau Lifelong Learning (LLL) merupakan sebuah agenda antarabangsa sebagaimana yang digariskan dalam United Nation Sustainable Development Goals 2030 (SDG2030) dan agenda nasional utama seperti Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMKe-12). PSH dilihat sebagai salah satu pemangkin utama dalam mengukuhkan tahap literasi, kemahiran, dan ilmu pengetahuan rakyat Malaysia selaras dengan hasrat Kerajaan dalam melahirkan Masyarakat Malaysia MADANI yang berilmu dan sejahtera.

Dalam konteks ekonomi, PSH membawa impak yang lebih besar kepada semua pemegang taruh menerusi peningkatan mutu dan taraf hidup rakyat Malaysia kerana PSH menjamin peningkatan pendapatan seiring dengan peningkatan kemahiran dan ilmu pengetahuan. Sejajar dengan impak positif PSH terhadap landskap ekonomi Malaysia, maka Agenda Pembudayaan PSH di Malaysia diangkat dan dipandang serius oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) selaku Agensi Peneraju (Lead Agency) Agenda Pembudayaan PSH Nasional.

Atas dasar komitmen padu KPT dalam menjamin hala tuju PSH nasional yang berimpak tinggi menuju tahun 2030, YBhg. Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, Ketua Setiausaha (KSU) KPT telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal PSH Bilangan 1 Tahun 2023 di KPT. Antara agenda utama yang dibawa ke mesyuarat ini adalah cadangan hala tuju oleh pihak Bahagian Dasar dan Penyelidikan, KPT selaku Sekretariat Nasional PSH berhubung pelancaran Pelan Induk Pembudayaan PSH Nasional, 2023-2030 bagi menggantikan Pelan Induk Pembudayaan PSH Peringkat Nasional, 2011-2020 yang telah tamat tempoh.

Turut hadir sama ialah YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), KPT; YBrs. Prof. Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA); YBrs. Dr. Wan Baharudin Wan Mahmood, Setiausaha Bahagian, Bahagian Dasar dan Penyelidikan, KPT; dan Puan Suraya Hani Saleh, Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Modal Insan, Bahagian Dasar dan Penyelidikan, KPT.

  • Last updated on .
  • Hits: 2789
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 14 June 2024, 19:20:56.