Kolej Komuniti Kuching Diseru Perluas Manfaat Pendidikan TVET Di Sarawak

Kolej Komuniti Kuching Diseru Perluas Manfaat Pendidikan TVET Di Sarawak
English translation not available for this content.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Haji Mohammad Yusof Apdal telah membuat lawatan kerja ke Kolej Komuniti Kuching (KK Kuching) di sini pagi tadi.

Beliau yang hadir bersama isteri, YBhg. Datin Saleha Tun Sakaran telah disambut oleh Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBrs. Dr. Haji Mohd Zahari Ismail dan Pengarah KK Kuching, Sumbang anak Mandaw serta seluruh kakitangan.

Dalam lawatan tersebut, YB Timbalan Menteri telah diberikan taklimat mengenai pencapaian, hala tuju dan cabaran KK Kuching dalam memperkasakan pendidikan TVET termasuk memperkenalkan program Pendidikan Sepanjang Hayat (PSH) ke komuniti setempat.

Berucap kepada warga yang hadir, beliau menyeru agar semua Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) di Sarawak untuk mempergiatkan usaha dalam memperkenalkan lagi manfaat program-program pendidikan TVET dalam kalangan rakyat negeri itu.

Selain itu, pihak PolyCC turut diminta untuk memperhebat usaha jalinan kerjasama dengan pihak industri melibatkan perkongsian pengalaman dan pemindahan teknologi ke dalam modul pengajian serta peluang latihan industri.

Jelas beliau, langkah itu nanti bukan sahaja mampu meningkatkan keterlihatan PolyCC malah berupaya menjadikan bidang TVET sebagai pilihan utama melanjutkan pengajian dan kerjaya oleh belia di Sarawak.

Seterusnya, beliau telah dibawa melihat pameran produk-produk hasil karya inovasi dan kreativiti para pelajar KK Kuching melibatkan tiga (3) kursus persijilan iaitu Teknologi Seni Bina, Asas Jahitan Kreatif serta Fesyen dan Pakaian.

YBhg. Datin Saleha juga turut meluangkan masa menyertai sesi demonstrasi pembuatan kraftangan manik oleh tenaga pengajar KK Kuching.

  • Last updated on .
  • Hits: 1844
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Monday 27 May 2024, 18:16:03.