Menteri Pendidikan Tinggi Menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pendidikan Asia-Eropah Kali Ke-9 (ASEMME9) Di Malta

Menteri Pendidikan Tinggi Menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pendidikan Asia-Eropah Kali Ke-9 (ASEMME9) Di Malta
English translation not available for this content.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah mengadakan lawatan kerja ke United Kingdom dan meneruskan lawatannya ke Malta bermula 25 hingga 26 Januari 2024.

Dalam rangka lawatan kerja YB Menteri ke Malta selama 2 hari ini, YB Menteri telah menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Pendidikan Tinggi Asia-Eropah Kali Ke-9 (ASEMME9) dan telah menyertai beberapa sesi plenari dan empat (4) sesi perbincangan meja bulat. Perincian sesi-sesi tersebut adalah seperti berikut:

(a) Sesi Plenari

i. Horizon Inklusif: Memanfaatkan Kecerdasan Buatan untuk Masa Depan Kolektif dalam bidang Pendidikan; dan

ii. Mengembangkan Teknologi dan Kaedah Pembelajaran yang Inovatif dalam Pendidikan Kesihatan: Menyediakan Laluan kepada Perkembangan dan Pembangunan Inklusif Pendidikan Kesihatan

(b) Sesi Meja Bulat

i. Perbincangan Meja Bulat Pertama antara Menteri adalah mengenai Matlamat Pembangunan Mampan dalam sektor pendidikan;

ii. Perbincangan Meja Bulat ke-2 antara Menteri adalah mengenai Pengiktirafan dan Mobiliti Seimbang;

iii. Perbincangan Meja Bulat ke-3 antara Menteri adalah mengenai Pembelajaran Sepanjang Hayat dan TVET; dan

iv. Perbincangan Meja Bulat antara Menteri Ke-4 adalah mengenai Digitalisasi.

YB Menteri juga telah diberi penghormatan untuk berucap pada sesi perbincangan meja bulat dengan tajuk Digitalisation. Dalam sesi tersebut, YB Menteri telah menerangkan mengenai apakah impak digitalisasi kepada tiga (3) komponen penting sejagat iaitu Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), Pembelajaran Sepanjang Hayat dan TVET.

Selain itu, YB Menteri turut terlibat secara langsung dengan pembentangan laporan terkini (Stocktaking Report) berhubung status aktiviti dan program yang telah dijalankan sepanjang tahun 2022-2023.

Dalam lawatan ini juga, YB Menteri turut mengadakan pertemuan dua hala bersama dengan Menteri Pendidikan Romania, Puan Ligia Deca bagi membincangkan kerjasama strategik yang boleh dilaksanakan antara dua negara terutamanya dalam bidang pendidikan tinggi.

YB Menteri turut berkesempatan berjumpa dengan beberapa rakan sejawatan dan delegasi dari Jepun, Ireland dan Argentina untuk berkongsi idea dan pandangan mengenai pendidikan dan penyelidikan. 

  • Last updated on .
  • Hits: 902
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.