Memperkukuh Kolaborasi Pendidikan Tinggi Malaysia - United Kingdom

Memperkukuh Kolaborasi Pendidikan Tinggi Malaysia - United Kingdom
English translation not available for this content.

25 Jun 2026 I Putrajaya

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, telah menerima kunjungan hormat daripada bakal Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland, TYT Datuk Indera Dr. Azfar bin Mohamad Mustafar pagi ini.

Pertemuan tersebut menjadi platform penting untuk bertukar pandangan berhubung perkembangan sektor pendidikan tinggi, pembangunan modal insan serta usaha memperkukuh hubungan strategik antara Malaysia dan United Kingdom.

Antara fokus perbincangan ialah potensi memperluas akses pendidikan tinggi kepada pelajar Malaysia, pengukuhan agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), mobiliti pelajar serta pengiktirafan program akademik. Selain itu, turut dibincangkan peluang kolaborasi antara institusi pendidikan tinggi dan rakan strategik di kedua-dua negara bagi memperkasakan ekosistem pendidikan tinggi yang lebih berdaya saing.

Turut disentuh ialah aspek pemudahcaraan urusan pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian ke luar negara, termasuk hal berkaitan visa, kebajikan pelajar serta inisiatif memperkukuh ekosistem pendidikan rentas sempadan yang lebih cekap dan mampan.

Kunjungan hormat ini mencerminkan komitmen berterusan KPT bersama perwakilan Malaysia di luar negara dalam memperluas jaringan kolaborasi antarabangsa serta meneroka peluang baharu yang dapat menyokong agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara dan pembangunan bakat masa hadapan. 

  • Last updated on .
  • Hits: 193
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Tuesday 30 June 2026, 10:47:03.

sirim-logo