MASTHAI 2026 Perkukuh Kerjasama Strategik Sukan Berprestasi Tinggi Malaysia-Thailand

MASTHAI 2026 Perkukuh Kerjasama Strategik Sukan Berprestasi Tinggi Malaysia-Thailand
English translation not available for this content.

7 Julai 2026 | Chiang Mai, Thailand

​Usaha memperkukuh kerjasama strategik antarabangsa dalam pembangunan sukan berprestasi tinggi di peringkat universiti menjadi agenda utama bagi mendepani cabaran semasa institusi pengajian tinggi (IPT).

​Selaras dengan hasrat tersebut, sesi perkongsian maklumat bertajuk "Sukan Berprestasi Tinggi di Universiti: Pembangunan dan Cabaran (High Performance Sports in University: Development and Challenges)” telah membekalkan dimensi baharu dalam Kejohanan MASTHAI Edisi ke-16 tahun 2026 yang berlangsung di Chiang Mai Rajabhat University, Thailand, bermula 29 Jun hingga 3 Julai lalu dengan penglibatan seramai 92 ahli kontinjen Malaysia.

​Diadakan secara bergilir sejak tahun 2008 hasil mandat Mesyuarat Jemaah Menteri, penganjuran kali ini menyaksikan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertindak sebagai urusetia bagi menyelaras pengisian holistik termasuk pertandingan sukan, acara walk rally, dan persembahan kebudayaan demi mempererat hubungan dua hala Malaysia-Thailand.

​Sebagai simbolik sokongan, majlis penyerahan bendera kepada Ketua Kontinjen telah disempurnakan oleh Setiausaha Bahagian Bahagian Perancangan Strategik KPT, YBrs. Puan Fazidah Mustafa pada 28 Jun lalu bertempat di Dewan Kolej Canselor, Universiti Putra Malaysia (UPM).

​Melalui pembentangan interaktif oleh Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Ahmad Marthada Mohamed, pihak Thailand menzahirkan minat yang mendalam untuk mengadakan jaringan kepakaran serta kolaborasi komprehensif dengan universiti di Malaysia bagi melahirkan atlet IPT yang kompetitif.

​Di gelanggang pertandingan pula, kecemerlangan sukan negara terserlah menerusi kemenangan mutlak 7–0 dalam Badminton Campuran dan penguasaan 5–2 dalam Petanque Campuran, biarpun pasukan tuan rumah memberikan saingan sengit dengan menguasai acara Bola Tampar Wanita serta Sepak Takraw Lelaki.

Turut hadir memeriahkan kejohanan berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan Tinggi, Sains, Penyelidikan dan Inovasi Thailand, Viraporn Rungtrakarn; Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah selaku Ketua Pengurusan Kontinjen Malaysia, Prof. Datuk Dr. Ts. Kassim Mansor; Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan Bahagian Perancangan Strategik KPT selaku Ketua Delegasi, Dr. Hanafiah Ayub; serta Timbalan Presiden Chiang Mai Rajabhat University, Prof. Madya Dr. Akhrasit Bungsongthae.

  • Last updated on .
  • Hits: 135
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 10 July 2026, 10:17:09.

sirim-logo