Malaysia Dan Arab Saudi Bersedia Untuk Mempertingkat Kerjasama Dalam Bidang Pendidikan Tinggi

Malaysia Dan Arab Saudi Bersedia Untuk Mempertingkat Kerjasama Dalam Bidang Pendidikan Tinggi
English translation not available for this content.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir pada pagi ini telah menerima kunjungan hormat dan mengadakan Mesyuarat dua hala bersama Menteri Perdagangan Arab Saudi, TYT Dr. Majid bin Abdullah Al Kassabi.

Semasa pertemuan ini, YB Menteri Pendidikan Tinggi telah mengalu-alukan kedatangan delegasi daripada Arab Saudi ke Malaysia dan menyatakan harapan beliau agar lawatan kerja rasmi mereka ke Malaysia membuahkan hasil serta memberikan manfaat kepada kedua-dua buah negara.

Antara perkara yang telah dibincangkan dalam pertemuan tersebut adalah mengenai isu permohonan visa pelajar Arab Saudi ke Malaysia, pemberian biasiswa kepada pelajar Malaysia untuk melanjutkan pelajaran di Arab Saudi, pembukaan kampus cawangan universiti Malaysia di Arab Saudi, penyelidikan bersama universiti Malaysia dalam pengurusan haji, umrah dan sektor halal, serta pertukaran dan kolaborasi pensyarah/ fakulti dan pelajar dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI).

Kedua-dua negara telah bersetuju untuk menamakan juara (champion) atau agensi/ individu bertanggungjawab untuk memperhalusi lima (5) inisiatif yang telah dibincangkan.

Turut hadir semasa sesi kunjungan hormat ini ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBrs. Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBrs. Dr. Haji Mohd Zahari Ismail; Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), YBrs. Prof. Dr. Harshita Aini Haroon dan Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa KPT, YBhg. Datin Noorazah Omar. 

  • Last updated on .
  • Hits: 598
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.