Majlis Berbuka Puasa UPM: DYMM Tuanku Canselor UPM Serah Sumbangan Aidilfitri; YB Menteri Temu Mahasiswa

Majlis Berbuka Puasa UPM: DYMM Tuanku Canselor UPM Serah Sumbangan Aidilfitri; YB Menteri Temu Mahasiswa
English translation not available for this content.

Tuanku Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada anak yatim, muallaf, Orang Kurang Upaya (OKU) dan asnaf yang terdiri daripada 30 pelajar UPM.

Baginda yang diiringi oleh DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan sumbangan tersebut sempena Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih bersama kira-kira 1,000 ahli kariah di situ.

Keberangkatan baginda telah disambut oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir yang turut bersama-sama menunaikan solat fardu isyak dan tarawih berjemaah.

Di kesempatan itu, YB Menteri turut beramah mesra dengan wakil pelajar serta mengambil peluang untuk menyantuni para pelajar antarabangsa UPM yang hadir.

Sebelum itu, YB Menteri turut menyaksikan DYMM Tuanku Canselor berkenan menerima sumbangan Wakaf Ilmu UPM berjumlah RM 1,979,972.82 bagi memenuhi keperluan dan pembiayaan aktiviti akademik, bantuan kewangan, penyelidikan, pembangunan fasiliti serta penjanaan bagi warga UPM.

Sultan Sharafuddin kemudiannya berkenaan menerima Dana Zakat, RM8,169,673.67; Projek Dana Wakaf Ilmu UPM, RM1,250,000.00; serta zakat perniagaan berjumlah RM158,177.00 daripada UPM Holdings Sdn. Bhd, Koperasi UPM Berhad; dan TMJ Mesra Travel & Tours Sdn. Bhd.

Selain itu, Tabung Haji turut memberi Sumbangan Dana Wakaf Ambulan berjumlah RM400,000.00 kepada Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), UPM; dan sumbangan Korporat Pharmaniaga Berhad berjumlah RM35,000.00

Hadir sama Menteri Besar Selangor, YAB Dato' Seri Amirudin Shari; Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Prof. Emeritus Dato' Dr. Ibrahim Komoo; dan Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah. 

  • Last updated on .
  • Hits: 931
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.