Loji Nyahgaram Air Laut Pantai Senok Bukti Penyelidikan Universiti Jadi Solusi Komuniti

Loji Nyahgaram Air Laut Pantai Senok Bukti Penyelidikan Universiti Jadi Solusi Komuniti
English translation not available for this content.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui inisiatif Penyelidikan Translasional sentiasa mengalu-alukan aktiviti penyelidikan yang mampu menghasilkan pulangan (outcome) yang memberi impak kepada kerajaan, komuniti, industri dan akademia.

Antaranya seperti PadiUPutra oleh Universiti Putra Malaysia; Langkawi UNESCO oleh Universiti Kebangsaan Malaysia; Garoupa oleh Universiti Malaysia Sabah; dan Mangga Harum Manis oleh Universiti Malaysia Perlis.

Pagi tadi, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud ke Bachok bagi meninjau pengoperasian Loji Nyahgaram Air Laut Pantai Senok iaitu sebuah lagi projek penyelidikan translasional yang telah dibangunkan oleh pakar-pakar tempatan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Projek bernilai RM5 juta yang dilancarkan pada tahun 2018 tersebut telah dibangunkan bagi membantu kira-kira 3,000 penduduk di situ mendapat manfaat bekalan air bersih alternatif secara percuma

Loji tersebut berkeupayaan menghasilkan bekalan air terawat berkapasiti 500,000 liter sehari yang boleh menampung bekalan kepada 10,000 pengguna sehari.

Menurut penyelidik dari Pusat Penyelidikan Teknologi Membran Termaju UTM (AMTEC UTM), Ts. Mohd Sohaimi Abdullah, banyak pihak luar antaranya kerajaan-kerajaan negeri turut berminat untuk membangunkan loji sedemikian di kawasan-kawasan yang mengalami kesukaran mendapatkan bekalan air terawat, termasuklah pihak swasta yang meneroka peluang penghasilan produk hiliran.

YB Timbalan Menteri turut menyaksikan sesi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara anak syarikat UTM iaitu Membrane Technology (Malaysia) Sdn. Bhd. dengan Umbak Baru Sdn. Bhd. bagi pemindahan ilmu serta kepakaran dalam menyelia dan pengoperasian loji tersebut.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Kelantan, Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah dan wakil dari Kelantan Utilities Mubaarakaan Holdings Sdn. Bhd. 

  • Last updated on .
  • Hits: 403
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 24 July 2024, 03:08:48.

sirim-logo