Lawatan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi ke Pavilion MAPIM di PBAKL 2026 Serlah Komitmen KPT Terhadap Agenda Memartabatkan Ilmu

5 Jun 2026 | Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL)
Pavilion Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 terus menjadi platform utama dalam memperkasa budaya membaca, penyebaran ilmu dan penghasilan karya berkualiti apabila menerima kunjungan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Adam Adli Abd Halim semalam.
Lawatan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam menyokong usaha memperkukuh ekosistem ilmu negara melalui penerbitan akademik, penyelidikan serta penghasilan karya yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat.
Sepanjang lawatan, beliau berpeluang meninjau pelbagai penerbitan ilmiah, buku akademik dan hasil penyelidikan yang dipamerkan oleh universiti awam serta organisasi penerbitan tempatan. Penglibatan aktif universiti awam dalam PBAKL 2026 membuktikan peranan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) bukan sahaja sebagai pusat pengajaran dan penyelidikan, malah sebagai pemangkin penyebaran ilmu kepada masyarakat.
PBAKL 2026 turut menjadi medan strategik dalam memperluas akses kepada ilmu pengetahuan, menggalakkan perkongsian kepakaran serta memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi, penerbit dan komuniti pembaca. Program seumpama ini selari dengan aspirasi KPT untuk membudayakan ilmu, memperkasa literasi dan melahirkan masyarakat yang berdaya fikir, inovatif serta berpengetahuan tinggi.
KPT akan terus menyokong inisiatif yang memartabatkan buku, penerbitan dan ilmu pengetahuan sebagai pemacu pembangunan modal insan MADANI serta kemajuan negara berteraskan pendidikan tinggi yang berkualiti, inklusif dan berimpak tinggi.
- Last updated on .
- Hits: 30
