Hari TVET Negara 2026; YAB Perdana Menteri Luncur TVET 2.0

Hari TVET Negara 2026; YAB Perdana Menteri Luncur TVET 2.0
English translation not available for this content.

6 Jun 2026 | Putrajaya

Penerapan nilai murni berteraskan konsep karamah insaniah dan penguasaan teknologi masa hadapan kini diangkat sebagai paksi utama bagi melahirkan modal insan teknikal yang seimbang di Malaysia.

​Hasrat murni ini telah dizahirkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim semasa merasmikan sambutan Hari TVET Negara 2026 dan Peluncuran TVET 2.0 bertempat di Dataran Putrajaya pagi tadi.

​Beliau menjelaskan bahawa pelaksanaan TVET 2.0 memfokuskan kepada penerokaan bidang teknologi baharu yang kritikal termasuk kecerdasan buatan (AI), pengurusan kripto, transisi tenaga, dan transformasi digital.

​Sebagai langkah drastik, YAB Perdana Menteri mengumumkan arahan wajib kepada semua badan penyelidikan kerajaan di bawah Majlis Sains Negara untuk melatih antara 50 hingga 100 pelajar teknikal terpilih bermula bulan hadapan.

​Inisiatif ini diyakini mampu melonjakkan standard kompetensi serta kepakaran pelatih TVET tempatan agar dapat melepasi tahap kelayakan akademik ijazah sarjana muda biasa di pasaran industri.

​Bagi menyokong kelancaran program berimpak tinggi ini, Kerajaan turut membenarkan penggunaan dana sehingga RM50 juta di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

​Suntikan dana tersebut bertujuan untuk menyokong penstrukturan semula skim gaji premium yang kompetitif dan setimpal dengan kemahiran teknologi tinggi yang dikuasai graduan.

​Sehubungan dengan itu, beliau menyeru pihak majikan dan pelabur industri multinasional untuk memperhebat sinergi bersama Kerajaan dalam menyediakan ekosistem latihan serta penyerapan tenaga kerja.

​Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa dimensi manusiawi, disiplin, dan keluhuran akhlak tidak boleh dikesampingkan dalam keghairahan negara memacu kemajuan material dan teknologi kecerdasan buatan.

​Kesungguhan dalam mengadunkan aspek kemahiran tinggi dan nilai murni ini sekali gus meletakkan TVET Malaysia sebagai penanda aras terbaik serta rujukan utama di rantau ASEAN.

​Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis TVET Negara, YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim; dan Ketua Sekretariat Majlis TVET Negara, Ts. Dr. Azmir Mohamed Yunus. 

  • Last updated on .
  • Hits: 38
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 10 June 2026, 07:46:50.

sirim-logo