Lawatan Kerja YBTM Ke Tapak Cadangan Pembangunan Politeknik Kota Belud
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud mengadakan lawatan kerja ke tapak cadangan pembangunan Politeknik Kota Belud, pagi tadi.
Tapak cadangan pembangunan Politeknik Kota Belud yang diusulkan sekitar 2017, berkeluasan 30 ekar dan dijangka dapat menampung sehingga 500 pelajar pada satu-satu masa.
Menurut YB Timbalan Menteri, dengan membangunkan Politeknik ini, ia dapat memperluaskan akses pendidikan dan menambah lagi pilihan terutama untuk komuniti setempat yang ingin melanjutkan pengajian di peringkat tinggi.
“Dengan pembangunan Politeknik Kota Belud ini, ia bakal memberi laluan kepada ibu bapa untuk menghantar anak-anak melanjutkan pengajian lebih dekat tanpa perlu menghantar jauh ke Politeknik Kota Kinabalu mahupun ke Pantai Timur Sabah.
"Kerjasama antara ahli masyarakat, kerajaan tempatan dan sektor swasta juga turut terjalin erat bagi membangunkan dan memajukan kawasan Kota Belud,” tambahnya.
Terdahulu, permohonan kerja-kerja awal pelaksanaan projek pembangunan yang tertangguh sekitar tahun 2018 telah dimajukan bagi pertimbangan kelulusan Kementerian Ekonomi di bawah peruntukan RMK-12, Rolling Plan 4 (RP4).
Pelaksanaan projek ini bukan sahaja bakal melahirkan graduan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bahkan selaras dengan Koridor Pembangunan Sabah dalam strategi Rancangan Fizikal Negara ke-3 untuk terus memperkasakan perindustrian minyak dan gas serta pelancongan di negeri Sabah.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Governan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Ts. Kamaludin Daud.
- Last updated on .
- Hits: 4809