Kunjungan Hormat Menteri Luar Negeri Republik Kyrgyz Ke Atas Menteri Pendidikan Tinggi Perkukuhkan Hubungan Dua Hala Pendidikan Tinggi Negara

Kunjungan Hormat Menteri Luar Negeri Republik Kyrgyz Ke Atas Menteri Pendidikan Tinggi Perkukuhkan Hubungan Dua Hala Pendidikan Tinggi Negara
English translation not available for this content.

YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi telah menerima kunjungan hormat oleh TYT Zheenbek Kulubaev, Menteri Luar Negeri Republik Kyrgyz pada petang ini di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur sempena lawatan kerja beliau ke Malaysia pada 1 hingga 3 April 2024.

Semasa pertemuan tersebut, TYT Zheenbek Kulubaev telah menyatakan hasrat Kerajaan Republik Kyrgyz untuk memperkukuhkan hubungan dua hala sedia ada antara kedua-dua negara terutamanya melalui kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi.

Beliau juga menyatakan terdapatnya peningkatan minat pelajar-pelajar Republik Kyrgyz untuk menyambung pendidikan tinggi di Malaysia.

Kerajaan Republik Kyrgyz juga menyatakan kesediaan untuk menerima pelajar-pelajar Malaysia yang berkelayakan untuk menyambung pengajian mereka dalam bidang perubatan di negara berkenaan.

Pada masa ini, Republik Kyrgyz sedang melalui fasa reformasi sektor pendidikan terutamanya dalam penguasaan Bahasa Inggeris dan subjek-subjek komersial.

YB Menteri turut menyatakan hasrat untuk melihat lebih banyak kolaborasi antara institusi pendidikan tinggi kedua-dua negara terutamanya dalam bidang aero-angkasa, kejuruteraan, sains dan matematik serta pengajian Islam.

Beliau juga turut mencadangkan supaya kedua-dua negara memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pendidikan tinggi.

Turut hadir semasa sesi kunjungan hormat tersebut ialah YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri KPT; YBhg. Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT; YBrs. Prof. Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, JPT; dan YBhg. Datin Noorazah Omar, Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa KPT. 

  • Last updated on .
  • Hits: 811
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.