Dewan Negara Sebulat Suara Lulus RUU AUKU Pindaan 2023

Dewan Negara Sebulat Suara Lulus RUU AUKU Pindaan 2023
English translation not available for this content.

Komitmen Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memartabatkan agenda pemerkasaan mahasiswa mencatat sejarah baharu hari ini apabila Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2023 (RUU AUKU 2023) yang dibacakan buat kali kedua dan ketiga oleh Menteri Pendidikan Tinggi diluluskan setelah mendapat sokongan sebulat suara Ahli Dewan Negara siang tadi.

YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir ketika menggulung perbahasan berkata RUU tersebut digubal bagi membugar budaya berorganisasi dan menyegarkan gerakan pelajar dengan tanggungjawab lebih besar dalam menguruskan aktiviti berpersatuan, termasuklah menyenggara kewangan mereka sendiri.

Jelasnya, "ini satu usaha progresif Kerajaan MADANI ke arah melahirkan mahasiswa dan pelajar yang berupaya mengurus kedewasaan dan kematangan diri'.

Secara keseluruhan, RUU ini mengandungi lima (5) fasal yang melibatkan enam (6) peruntukan berkaitan kebenaran memungut wang, menerima sumbangan dan menyelenggara kumpulan wang kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) atau Badan Pelajar; penyelarasan tempoh pemilihan MPP berdasarkan kalendar akademik; serta pemantapan amalan tadbir urus tatatertib mahasiswa.

"Ia (RUU AUKU 2023) bukan satu perkara atau harapan palsu... Ia benar-benar satu komitmen, dan Kerajaan untuk kita merubah dari segi kehidupan dan kebebasan mahasiswa kita," ujar beliau.
Tegasnya juga, RUU tersebut merupakan harapan daripada golongan mahasiswa yang ingin melihat perubahan dalam lanskap organisasi pelajar dan ia tidak dipinda secara sepihak, malah turut melibatkan semua pemegang taruh, terutamanya melibatkan mahasiswa sendiri.

Selain itu, beliau turut mengingatkan bahawa tujuan AUKU diwartakan pada 1971 adalah sebagai peruntukan bagi maksud menubuh, menyelenggara, serta mentadbir universiti dan kolej universiti di Malaysia, kecuali Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Teknologi MARA yang masing-masing mempunyai aktanya sendiri. 

  • Last updated on .
  • Hits: 1055
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.