KSU KPT Semarakkan Budaya Kerja Berpasukan Melalui Pertandingan Sepakan Penalti

12 Jun 2026 | Putrajaya
Pertandingan Sepakan Penalti Piala KSU KPT 2026 berjaya menghimpunkan warga Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam suasana santai dan penuh semangat kesukanan yang mencerminkan nilai kebersamaan serta kecemerlangan organisasi.
Program yang berlangsung di perkarangan KPT itu disertai oleh warga daripada pelbagai bahagian, jabatan dan agensi di bawah KPT sebagai platform mengukuhkan hubungan kerja dan semangat berpasukan.
Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim turut meluangkan masa menyertai program tersebut sekali gus menunjukkan komitmen kepimpinan kementerian dalam menyokong amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kerja.
Beliau menegaskan bahawa aktiviti seperti ini merupakan salah satu aktiviti yang akan dianjurkan dari masa ke semasa sebagai sebahagian daripada inisiatif pembudayaan sukan dan kesejahteraan warga KPT yang selari dengan aspirasi mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif, produktif dan seimbang.
Selain menguji kemahiran peserta dalam sepakan penalti, program itu turut menjadi medium memperkukuh jaringan kerjasama rentas bahagian serta memupuk nilai saling menghormati dan semangat setia kawan.
Sorakan dan sokongan yang diberikan oleh warga KPT sepanjang pertandingan berlangsung menyerlahkan semangat kebersamaan yang menjadi tunjang kepada kecemerlangan penyampaian perkhidmatan kementerian.
Terdahulu, warga KPT turut menyertai sesi senamrobik yang diadakan pada waktu pagi sebelum pertandingan bermula sebagai aktiviti pemanasan badan dan pengisian gaya hidup sihat yang berjaya menyemarakkan suasana ceria serta meningkatkan penglibatan warga kementerian.
Pendekatan yang menggabungkan elemen sukan, interaksi sosial dan pembangunan modal insan diyakini mampu meningkatkan motivasi serta memperkukuh keterlibatan warga kementerian dalam mencapai matlamat organisasi.
KPT akan terus memperluas pelaksanaan program berimpak tinggi yang menyokong pembangunan bakat, kesejahteraan warga dan pengukuhan budaya kerja cemerlang demi memastikan penyampaian perkhidmatan pendidikan tinggi negara kekal unggul.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Adam Adli Abd Halim dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman.
- Last updated on .
- Hits: 101
