KSU Ketuai Delegasi KPT, Rektor UIAM Dinobat Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1448h/2026m

KSU Ketuai Delegasi KPT, Rektor UIAM Dinobat Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1448h/2026m
English translation not available for this content.

17 Jun 2026 | Putrajaya

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim, telah mengetuai delegasi warga Kementerian menghadiri Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1448H/2026M yang berlangsung di Masjid Putra, siang tadi.

Majlis berkenaan telah diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah yang berkenan bercemar duli ke sambutan tersebut.

Keberangkatan Baginda telah disambut oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato' Sri Haji Fadillah Haji Yusof, bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan.

Baginda kemudiannya berkenan menyempurnakan penyampaian Anugerah Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1448H/2026M kepada Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar.

Penganugerahan tersebut merupakan pengiktirafan tertinggi negara terhadap sumbangan besar beliau dalam pembangunan ummah, pengembangan ilmu serta pemerkasaan syiar Islam di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar diiktiraf sebagai antara sarjana Islam terkemuka dunia yang memiliki pengetahuan luas dan mendalam dalam bidang pemikiran Islam, falsafah, sains serta ketamadunan.

Sepanjang kerjayanya, beliau telah menyumbang secara signifikan kepada pembangunan syiar Islam melalui penulisan ilmiah, penyelidikan, syarahan serta penglibatan aktif dalam pelbagai institusi pendidikan dan organisasi antarabangsa sehingga memberi impak besar terhadap perkembangan pemikiran Islam kontemporari.

Selain kecemerlangan ilmu, beliau turut dikenali dengan akhlak, personaliti dan kepimpinan yang unggul sehingga menjadi contoh teladan kepada masyarakat serta warga akademia dalam memperjuangkan nilai-nilai Islam sejagat.

Pemilihan beliau sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan adalah selaras dengan kriteria anugerah yang menitikberatkan keluasan ilmu, keunggulan peribadi, sumbangan cemerlang kepada pembangunan ummah serta pengiktirafan masyarakat terhadap kewibawaan seseorang tokoh.

Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1448H/2026M yang bertemakan "MADANI Dihayati, Ummah Diberkati" menjadi wadah menghargai tokoh-tokoh yang berjasa kepada agama dan negara, di samping mengajak masyarakat menghayati semangat hijrah ke arah pembentukan ummah yang lebih berilmu, bersatu padu dan sejahtera. 

  • Last updated on .
  • Hits: 127
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 June 2026, 03:59:08.

sirim-logo