Diplomasi Akademik Malaysia-Palestin: Memperkukuh Kerjasama Strategik Pendidikan Tinggi dan Solidariti Kemanusiaan

16 Jun 2026 | Putrajaya
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menerima kunjungan hormat daripada H.E. Jehad Alqedra, Duta Besar Negara Palestin ke Malaysia pada hari ini.
Sesi pertemuan ini bukan sekadar manifestasi kepada jalinan diplomatik sedia ada, malah berfungsi sebagai platform dinamik dalam menterjemahkan komitmen dan solidariti berterusan Malaysia kepada pelan tindakan akademik yang lebih substantif, praktikal, dan berimpak tinggi bagi jangka masa panjang.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak telah membincangkan usaha memperkukuh mekanisme bantuan pendidikan yang mampan, termasuk meneliti kesinambungan sokongan kepada pelajar perubatan dari Gaza menerusi program penempatan elektif klinikal.
Selain itu, turut dibincangkan mengenai penerokaan kerjasama di peringkat institusi/ universiti antara kedua-dua buah negara antaranya bagi mempertingkat mobiliti akademik serta penyelidikan bersama.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) percaya bahawa melalui pengukuhan diplomasi akademik dan sokongan institusi seperti ini, Malaysia dapat terus menyumbang secara signifikan kepada pembinaan semula kapasiti intelek dan masa depan negara Palestin.
- Last updated on .
- Hits: 147
