KPT, UNESCO Bangkok Pertingkat Kerjasama Dalam Bidang Pendidikan Tinggi

KPT, UNESCO Bangkok Pertingkat Kerjasama Dalam Bidang Pendidikan Tinggi
English translation not available for this content.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin telah menerima kunjungan hormat oleh Tuan Libing Wang, Ketua Seksyen Inovasi Pendidikan dan Pembangunan Kemahiran bagi Biro Pendidikan Wilayah Asia-Pasifik UNESCO Bangkok, di sini pagi tadi.

Tuan Wang hadir ke Malaysia sebagai panel pakar membincangkan pembangunan bakat pasca pandemik pada edisi GHEF ke-8 ini.

Dalam pertemuan ini, YB Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan komitmen Malaysia melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk terus komited dalam melaksanakan Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Framework, MQF) sebagai landasan sistem jaminan kualiti pendidikan tinggi dan pengiktirafan terhadap program-program yang diakreditasi oleh badan jaminan kualiti setara dari negara anggota UNESCO.

Antara perkara yang dibincangkan ialah mengenai cadangan untuk meneroka peluang dan penglibatan antara UNESCO Bangkok dengan Malaysia dalam pendidikan tinggi, kerjasama dalam bidang penyelidikan dengan fokus dalam bidang TVET atau bidang lain yang dipersetujui bersama, peluang latihan (on job training) dan kursus jangka panjang mahupun jangka pendek, peluang mewujudkan semula Malaysia Funds In Trust (MFIT) bagi tujuan pembangunan pendidikan tinggi di Malaysia serta kesediaan Malaysia untuk meratifikasi Tokyo Convention 2011.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, YBhg. Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBrs. Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBrs. Dr. Haji Mohd Zahari Ismail; serta Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia, YBhg. Prof. Dato' Dr. Mohammad Shatar Sabran.

  • Last updated on .
  • Hits: 2157
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 06 December 2024, 01:33:11.

sirim-logo