GHEF 2023 Angkat Isu Ekosistem Pendidikan Tinggi Dan Pemulihan Pasca Pandemik

GHEF 2023 Angkat Isu Ekosistem Pendidikan Tinggi Dan Pemulihan Pasca Pandemik
English translation not available for this content.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin telah merasmikan Forum Pendidikan Tinggi Global 2023 (GHEF2023) di sini pagi tadi.

Edisi ke-8 forum tersebut dianjurkan selama tiga (3) hari sehingga Jumaat ini dengan melibatkan penyertaan hampir 1,000 perwakilan termasuklah ahli akademik, penyelidik, sarjana muda (pelajar pasca siswazah), pegawai kerajaan, pembuat dasar, badan bukan kerajaan (NGO) dan pemain industri dari institusi tempatan dan antarabangsa daripada 17 buah negara.

Mengangkat tema 'Pemulihan Ekuiti – Pendidikan Tinggi Dalam Era Pasca Pandemik', ia memberi fokus kepada usaha memajukan dan memelihara kesaksamaan dalam sektor pendidikan tinggi, terutamanya dalam era pasca pandemik COVID-19.

Tema dipilih berikutan kesan domino pandemik COVID-19 terhadap ekosistem pendidikan tinggi nasional dan global, yang dikhuatiri telah melebarkan jurang akses, sumber dan peluang pembelajaran, terutama bagi pelajar daripada kumpulan terpinggir seperti orang kelainan upaya (OKU), orang asli dan latar belakang keluarga berpendapatan rendah.

Antara pengisian forum termasuk menampilkan 15 penceramah pakar tempatan dan antarabangsa dan empat sesi perbincangan pakar yang memberi tumpuan kepada sub-tema yang berkaitan tema forum: jurang digital, pekerjaan dan pembangunan bakat, dan kemajuan dasar sosio-ekonomi dan pendidikan tinggi.

Turut berlangsung adalah Memorandum Persefahaman (MoU), Simposium Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan satu perjanjian mercu tanda ‘Joint Action Roadmap’ (JAR) akan ditandatangani antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Pusat Penyelidikan Pembangunan Pendidikan Tinggi (CHEDR) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, Sains dan Inovasi Uzbekistan.

GHEF2023 merupakan forum dwitahunan yang dianjurkan dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dengan Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN) memainkan peranan penting sebagai sekretariat bagi GHEF.

  • Last updated on .
  • Hits: 886
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Monday 15 April 2024, 21:14:58.