KPT Komited Perkasa Akses Pendidikan Tinggi Inklusif Untuk OKU, Orang Asli
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kekal komited dalam memperkasa agenda pendidikan inklusif bagi memastikan semua lapisan masyarakat, termasuk Orang Kurang Upaya (OKU) dan Orang Asli, mendapat akses pendidikan tinggi yang setara.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata dasar pendidikan inklusif selari dengan aspirasi Malaysia MADANI serta Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035 yang menekankan peluang sama rata kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.
Beliau berkata demikian ketika menjayakan sesi dialog "In Person With Doc Zam" bersama kira-kira 3,000 orang pelajar baharu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), termasuklah 200 orang pelajar daripada golongan OKU dan Orang Asli di sini petang semalam.
Di penghujung sesi, beliau turut mengumumkan peruntukan geran oleh Kementerian melalui Yayasan Perkasa Siswa (YPS) sebanyak RM2,000 kepada setiap persatuan pelajar Orang Asli juga OKU di semua universiti awam bagi menyokong pelaksanaan program serta aktiviti pembangunan kapasiti mereka.
Inisiatif ini bertujuan memperkukuh peranan persatuan mahasiswa dalam merancang dan melaksanakan program yang dapat memperkasakan kedua-dua komuniti tersebut di kampus.
Menurut beliau lagi, peruntukan itu juga akan membantu melancarkan pelaksanaan program pembangunan yang memberi impak kepada kebolehpasaran graduan mereka selepas tamat pengajian.
KPT turut menekankan kerjasama rapat dengan pihak industri dan kementerian lain untuk memastikan peluang pekerjaan yang setara disediakan kepada graduan inklusif agar mereka mampu bersaing di pasaran kerja.
Dalam sesi itu juga, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry turut berkongsi kisah inspirasi pelajar dan profesor berkeperluan khas yang berjaya cemerlang dalam bidang akademik, sebagai bukti bahawa kekurangan fizikal bukan halangan untuk meraih kejayaan.
Selain itu, YB Menteri turut menjawab pelbagai persoalan yang dibangkitkan oleh para mahasiswa, merangkumi isu biasiswa, kemudahan mesra OKU, pembangunan TVET inklusif, serta jaminan peluang pekerjaan selepas graduasi.
Menyahut cadangan mahasiswa, YB Menteri turut memberi jaminan untuk membawa cadangan berkaitan pendidikan percuma bagi golongan minoriti dan perwakilan tetap Orang Asli dalam Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) ke peringkat tertinggi.
Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan semua universiti agar menyediakan fasiliti mesra OKU dan memastikan tiada pelajar disisihkan daripada mengikuti kursus pilihan hanya kerana kekangan infrastruktur.
Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; serta Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar.
- Last updated on .
- Hits: 750