Integriti Asas Kepimpinan Negara, PM Tekankan Agenda Reformasi Di FIM Siri Ke-8
“Untuk menjayakan sebuah negara, satu program, ia mesti bermula dengan tokoh yang berintegriti, yang amanah dan sistem yang lebih bersih serta telus,” tegas Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri ke-8 di Institut Integriti Malaysia (IIM) semalam.
YAB Perdana Menteri menegaskan bahawa budaya ilmu dan pemikiran kritis perlu diperhebatkan bagi melahirkan kepimpinan beramanah serta memastikan agenda reformasi holistik dan sistemik dapat digerakkan dengan berkesan.
Beliau turut mengingatkan bahawa integriti masih kurang diberi keutamaan dalam wacana politik dan perbahasan awam, sedangkan ia merupakan asas utama kepada kejayaan pembangunan negara.
Mengambil inspirasi tokoh Islam seperti Salahuddin Al-Ayyubi dan Umar Abdul Aziz, YAB Perdana Menteri menekankan pentingnya kekuatan dalaman, disiplin serta budaya ilmu yang mendasari kejayaan kepimpinan dan pentadbiran.
Forum anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama IIM ini mengetengahkan tema 'Integriti dan Kepimpinan Nasional: Iltizam dan Reformasi Holistik dan Sistemik' dengan penyertaan lebih 300 orang tetamu terdiri daripada ahli akademik, penjawat awam, pemimpin NGO dan wakil industri.
Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Ts. Ahmad Ramdzan Daud, dalam pembentangannya menekankan bahawa disiplin perlu dijadikan asas untuk mengekalkan integriti dalam perkhidmatan awam dan kepimpinan, dengan menekankan teguran membina sebagai mekanisme kawalan.
Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pula menghuraikan pandangan Ibnu Taymiyyah berhubung konsep Hizbah atau 'public accountability' yang menurut beliau, setara dengan institusi Ombudsman pada masa kini dan penting bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa.
Beliau menjelaskan bahawa kepimpinan perlu difahami sebagai amanah rakyat, dengan mencontohkan pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz yang menguruskan khazanah negara dengan penuh tanggungjawab serta telus.
Sementara itu, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong dari Universiti Kebangsaan Malaysia mengupas pemikiran Ibnu Khaldun berhubung asabiyah atau semangat kebersamaan yang menurut beliau, relevan dalam mencegah kemerosotan tamadun.
Beliau turut menekankan bahawa korupsi di Malaysia bersifat sistemik, dan hanya satu kejutan atau anjakan paradigma mampu memulihkan keyakinan rakyat serta martabat negara.
Dalam sesi soal jawab, para tetamu telah mengemukakan pelbagai persoalan berkaitan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang anti rasuah, keutamaan membanteras kes besar berbanding kecil, serta integriti dalam sistem demokrasi dan pembiayaan politik.
Menjawab soalan, YAB Perdana Menteri menegaskan komitmen kerajaan untuk memberi kuasa penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa lain dalam menyiasat tanpa kompromi, sambil menekankan pemulangan harta rakyat yang dicuri sebagai keutamaan.
Beliau turut menekankan bahawa reformasi politik tidak boleh hanya tertumpu kepada isu pembiayaan politik semata-mata, tetapi perlu meliputi pencerahan nilai, etika dan kefahaman dalam kalangan wakil rakyat untuk memastikan sistem demokrasi lebih berintegriti.
YAB Perdana Menteri ketika membuat rumusan telah menegaskan bahawa pelaksanaan dasar yang baik memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, institusi akademik dan masyarakat sivil, dengan universiti berperanan sebagai pusat pemikiran untuk memperkukuh reformasi dan membina jati diri nasional.
Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Timbalannya, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Ketua Setiausaha Negara; Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; serta Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan.
- Last updated on .
- Hits: 861