KPT Julang Martabat Pendidikan Tinggi Holistik; Tidak Utamakan Ranking
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus mendukung titik keseimbangan dalam memartabatkan pendidikan tinggi negara melalui kaca mata yang holistik dan mengelakkan misi mengejar pencapaian berdasarkan ranking semata-mata.
YB Menteri Pendidikan Tinggi yang berucap merasmikan Kemuncak Universiti-universiti Asia 2024 anjuran Times Higher Education (THE: AUS'24) di Sunway University pagi tadi, menegaskan bahawa KPT mengutamakan kemenjadian mahasiswa, sambil memastikan yang universiti kekal fokus pada peranan masing-masing.
Antaranya pembangunan bakat; menghasilkan penerbitan bermutu dan berintegriti; penyelidikan berkualiti dan berimpak tinggi bagi pembangunan bangsa; serta menjajarkan pencapaian ranking masing-masing kepada konteks dan aspirasi tempatan, terutamanya gagasan Malaysia MADANI.
YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir bagaimanapun mengiktiraf kepentingan peranan ranking dalam ekosistem pendidikan tinggi negara.
Katanya, ranking secara semula jadinya meningkatkan persaingan dan penambahbaikan yang berterusan; mengangkat budaya inovasi dan penyelidikan; sekali gus menjadi penanda aras sesama Institusi-institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di pentas tempatan dan juga global, yang mampu meningkatkan keterserlahan untuk jalinan kerjasama dan kolaborasi.
Namun, di era dunia serba mencabar kini, KPT tidak mahu IPT bersifat "isomorphic mimicry" yang meniru bulat-bulat apa sahaja yang dilaksanakan oleh komuniti-komuniti lain tanpa menimbangkan kelainan serta manfaatnya kepada negara.
"Kita mahukan kecemerlangan sebenar yang mempunyai impak, serta penyelesaian masalah yang praktikal", tegas beliau.
Jelasnya lagi, "YAB Perdana Menteri telah menekankan perlunya kita melahirkan bakat kalis masa hadapan (future-proof) yang kompeten, komited, serta berkeyakinan mendepani dunia yang berkecamuk, kompleks dan sentiasa bercanggah.
"Saya yakin universiti-universiti kita mampu memainkan peranan yang penting dalam gagasan tersebut," ucap beliau.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara Sunway University dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi membangunkan program Perubatan Kedoktoran Sunway University yang dijangka bakal memperkasakan lagi sektor kesihatan negara.
- Last updated on .
- Hits: 1128