KPT Agih Baucar Buku Melalui Portal MySISWAPLACE Mulai 30 Oktober

KPT Agih Baucar Buku Melalui Portal MySISWAPLACE Mulai 30 Oktober
English translation not available for this content.

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkasakan mahasiswa di seluruh negara, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Yayasan Perkasa Siswa (YPS) memperkenalkan portal digital MySISWAPLACE.

Portal ini dirasmikan semalam oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir di lobi KPT, bertujuan untuk memperluas akses bantuan kebajikan dan geran bagi mahasiswa dengan lebih efisien dan pantas.

YPS, yang berperanan dalam menyelaras kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa secara menyeluruh, melihat portal ini sebagai transformasi digital penting yang akan berfungsi sebagai pusat sehenti (one-stop center) bagi pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan kepada pelajar.

Melalui MySISWAPLACE, pelajar IPT kini boleh mendapatkan bantuan secara atas talian, termasuk Baucar Buku Madani bernilai RM100 yang boleh ditebus bermula 30 Oktober hingga 31 Disember 2024.

Dalam ucapan perasmiannya, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry menyatakan, “Saya harap dengan adanya MySISWAPLACE ini, ia akan dapat membantu pelajar-pelajar kita bukan hanya untuk tempoh masa kini tetapi juga untuk satu tempoh jangka panjang kerana kita sudah ada platform yang boleh kita gunakan untuk memastikan supaya sebarang bentuk perkhidmatan yang kita dapat sampaikan kepada pelajar-pelajar kita dapat kita gunakan. Ia akan menjadi seperti one stop center bagi mahasiswa sekalian.”

Portal MySISWAPLACE merupakan sebahagian daripada komitmen KPT untuk mewujudkan ekosistem pendidikan tinggi yang inklusif dan mesra digital.

Dalam portal ini, mahasiswa dapat menikmati pelbagai kemudahan dengan pantas, selaras dengan matlamat YPS untuk memastikan tidak ada mahasiswa yang tercicir dari mendapatkan bantuan, terutama bagi mereka yang berkeperluan. 

  • Last updated on .
  • Hits: 2720
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 12 February 2025, 10:29:14.

sirim-logo