Kelantan Dan Terengganu Dinobat Juara Keseluruhan MYPOLYCC Sports Carnival 2023

Kelantan Dan Terengganu Dinobat Juara Keseluruhan MYPOLYCC Sports Carnival 2023
English translation not available for this content.

Kontinjen Zon 8 daripada Negeri Kelantan dan Terengganu telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan MYPOLYCC Sports Carnival 2023. Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi di Politeknik Nilai, hari ini.

Program ini diadakan bertujuan untuk mencungkil bakat pelajar politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) dalam bidang sukan di samping mengetengahkan bakat dan meningkatkan kesiapsiagaan atlet POLYCC ke kejohanan sukan yang lebih tinggi.

Program ini telah bermula pada 23 hingga 27 Julai 2023 dengan melibatkan penyertaan seramai 570 orang pelajar serta 150 orang kakitangan dari 10 zon politeknik dan kolej komuniti. Menariknya, penganjuran sukan pada tahun ini menggabungkan dua (2) Majlis Sukan iaitu Majlis Sukan Politeknik (MSP) dan Majlis Sukan Kolej Komuniti (MASKOM).

YB Menteri Pendidikan Tinggi dalam ucapannya berkata “adalah menjadi keperluan agar Kementerian Pendidikan Tinggi serta jabatan dan agensi di bawahnya dalam mewujudkan satu ekosistem pendidikan tinggi yang menyeronokkan dan seimbang untuk semua, salah satunya dengan penganjuran karnival sukan.”

Tambah beliau lagi, karnival sukan yang meriah serta prestasi atlet politeknik dan kolej komuniti yang membanggakan negara, berupaya menjadi salah satu tarikan kepada anak muda untuk memilih institusi tersebut sebagai destinasi pendidikan tinggi mereka khususnya kepada mereka yang berbakat dalam sukan.

Majlis pada hari ini turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), KPT; YBrs. Dr. Haji Mohd Zahari Ismail, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK); YBrs. Tuan Haji Wan Zulkifly Wan Zakaria, Pengarah Politeknik Nilai serta para pelajar politeknik dan kolej komuniti.

  • Last updated on .
  • Hits: 2464
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Tuesday 21 May 2024, 15:10:04.