Karnival Pengajian Tinggi Keluarga Malaysia
Usai sudah Karnival Pengajian Tinggi Keluarga Malaysia setelah 2 hari berkampung di MS Downtown Parit Sulong sejak semalam.
Karnival penuh pengisian bertemakan semangat KPT Prihatin tersebut telah menampilkan reruai pameran yang memaparkan pelbagai perkhidmatan, produk dan inovasi daripada institut pengajian tinggi awam (IPTA), Hospital Pengajar Universiti (HPU) serta agensi-agensi yang bernaung di bawah payung KPT.
Para pengunjung dari semua lapisan umur turut mengambil bahagian dalam program dan aktviti yang ditawarkan secara percuma seperti CSR TVET servis asas motosikal dan gunting rambut, kursus-kursus jangka pendek Pembelajaran Sepanjang hayat (PSH) serta pemeriksaan kesihatan dan pergigian melalui KPT Prihatin Komuniti Sejahtera (KPT-KRIS).
Karnival tersebut turut telah menarik minat masyarakat dari luar Batu Pahat yang datang untuk singgah ke Jualan Murah Keluarga Malaysia, gerai-gerai makanan dan produk IKS, pertunjukan motosikal, pertandingan mewarna kanak-kanak, senamrobik dan bermacam-macam lagi.
Sepanjang 2 hari penganjurannya, para pengunjung turut disajikan dengan pelbagai persembahan kesenian dan kebudayaan pelajar IPT, kuiz dan cabutan bertuah, demonstrasi TVET dan STEM, serta sesi perkongsian bermanfaat berkaitan pendidikan tinggi.
Semoga semangat KPT Prihatin yang dibawa melalui karnival ini dapat memberi manfaat dan mencetus inspirasi kepada seluruh masyarakat untuk meneruskan kembara pencarian ilmu dalam meningkatkan taraf kehidupan serta sosioekonomi negara.
- Last updated on .
- Hits: 4351