IPT, Industri Perlu Bangunkan Kurikulum Bersama, Tangani Ketidakpadanan Kemahiran

IPT, Industri Perlu Bangunkan Kurikulum Bersama, Tangani Ketidakpadanan Kemahiran
English translation not available for this content.

1 November 2026 | Sepang, Selangor

Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dan pihak industri perlu beralih daripada hubungan kerjasama bersifat sementara kepada perkongsian berterusan dalam pembangunan kurikulum, penyelidikan dan latihan bagi memastikan graduan memiliki kompetensi yang memenuhi keperluan ekonomi masa hadapan.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata, penglibatan industri tidak seharusnya terhad kepada penyediaan tempat latihan industri, sebaliknya perlu bermula sejak peringkat pembangunan program akademik, penetapan hasil pembelajaran dan perancangan kaedah pengajaran.

Beliau berkata, perubahan pesat dalam teknologi kecerdasan buatan (AI), automasi, pendigitalan dan peralihan kepada ekonomi hijau menuntut sistem pendidikan tinggi melahirkan graduan yang bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, malah berupaya mengaplikasikan ilmu, menyelesaikan masalah, menyesuaikan diri serta menguasai kemahiran baharu sepanjang kerjaya.

Menurut beliau, pendekatan itu selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang memberi penekanan kepada pembangunan bakat berkompetensi, pendidikan fleksibel, pembelajaran sepanjang hayat serta penyelidikan dan inovasi yang bertanggungjawab.

Beliau berkata, kadar kebolehpasaran graduan yang meningkat kepada 92.5 peratus pada tahun 2024 berbanding 75 peratus pada tahun 2014 menunjukkan kemajuan sistem pendidikan tinggi negara, namun usaha perlu diteruskan bagi memastikan kemahiran graduan dapat dimanfaatkan secara optimum dalam pasaran pekerjaan.

Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan perkongsian maklumat pasaran buruh, penglibatan pakar industri sebagai tenaga pengajar dan mentor, peluasan pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar serta kerjasama penyelidikan dan pembangunan inovasi bagi menangani ketidakpadanan kemahiran.

Dalam pada itu, beliau menegaskan jaminan kualiti pendidikan tinggi perlu terus memelihara standard akademik, di samping memberi ruang kepada institusi meneroka kaedah pembelajaran baharu dan laluan pendidikan yang lebih fleksibel bersesuaian dengan perubahan keperluan industri.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj Aminuddin Hassim pada program MQA Industry Connect 2026 bertemakan “Merealisasikan Aspirasi Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 melalui Kerjasama Strategik antara Industri dengan Pendidikan Tinggi” (Realising the Aspirations of the Malaysia Higher Education Blueprint 2026–2035 through Strategic Partnerships between Industry and Higher Education) di Xiamen University Malaysia (XMUM) hari ini.

Program anjuran Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) itu menghimpunkan kira-kira 100 buah IPT awam dan swasta serta 100 wakil industri bagi membincangkan hala tuju kerjasama sektor pendidikan tinggi dan industri.

Beliau berharap pertemuan itu menghasilkan kerjasama yang mempunyai matlamat jelas, pembahagian peranan yang difahami bersama dan penilaian keberhasilan bagi memastikan pembangunan bakat negara menjelang 2035 menjadi tanggungjawab bersama kerajaan, institusi pendidikan tinggi dan pihak industri.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Dato' Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran; Timbalan Presiden Xiamen University Malaysia, Prof. Dr. Zhang Ying; serta Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah.

  • Last updated on .
  • Hits: 41
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Thursday 05 November 2026, 11:12:08.

sirim-logo