Academician Prof. Emeritus Datin Paduka Setia Dato’ Dr. Aini Ideris Dinobat Tokoh Akademik Negara Ke-17

Academician Prof. Emeritus Datin Paduka Setia Dato’ Dr. Aini Ideris Dinobat Tokoh Akademik Negara Ke-17
English translation not available for this content.

31 Oktober 2026 | Klang, Selangor

Academician Prof. Emeritus Datin Paduka Setia Dato’ Dr. Aini Ideris dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara Ke-17 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar beliau dalam bidang perubatan veterinar, khususnya penyelidikan penyakit unggas dan bioteknologi haiwan.

Pengiktirafan itu disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir yang turut merasmikan Majlis Anugerah Akademik Negara Ke-17 (AAN17) yang turut dihadiri komuniti akademik negara, di sini semalam.

Sepanjang kerjaya akademiknya, Academician Prof. Emeritus Datin Paduka Setia Dato’ Dr. Aini telah menghasilkan beberapa inovasi vaksin termasuk vaksin penyakit Newcastle NDV4-UPM dan vaksin cacar ayam yang berjaya memasuki pasaran antarabangsa, selain menjadi wanita pertama dilantik sebagai Naib Canselor UPM bagi tempoh 2016 hingga 2020.

Dalam ucapannya, YB Menteri menegaskan bahawa golongan akademia perlu memainkan peranan sebagai intelektual awam yang bukan sahaja menghasilkan penerbitan ilmiah, penyelidikan dan geran, malah turut menyumbang idea, mencabar pemikiran konvensional serta membimbing masyarakat memahami isu semasa.

Beliau turut mengingatkan bahawa kecemerlangan akademik tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian dan kedudukan universiti semata-mata, sebaliknya perlu dinilai melalui manfaat ilmu terhadap kehidupan manusia, termasuk memastikan penggunaan kecerdasan buatan tidak menjejaskan keupayaan pelajar berfikir secara kritis, berkomunikasi dan membentuk jati diri.

Sementara itu, Anugerah Ahli Akademik Harapan diberikan kepada Prof. Dr. Ong Wee Jun dari Universiti Xiamen Malaysia (XMUM) dan Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Serene Lock Sow Mun dari Universiti Teknologi PETRONAS (UTP).

Bagi kategori Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk, pengiktirafan diberikan kepada Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Khairi Abu Husain dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), manakala Anugerah Penerbitan Buku dimenangi Dr. Siti Noor Hafizah Mohamed Sharif dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Anugerah Pengajaran (Sastera dan Sains Sosial) diberikan kepada Prof. Madya Dr. Saipolbarin Ramli dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Anugerah Pengajaran (Sains Tulen) pula dimenangi Prof. Madya Dr. Jayanthi Arasan dari UPM, Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal (Sains Sosial dan Sastera) diberikan kepada Dr. Ooi Say Keat dari USM, manakala Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal (Sains) dimenangi Prof. Ir. Dr. Yong Wai Fen dari XMUM.

Majlis turut dihadiri Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Dato’ Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; serta Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan AAN17 merangkap Naib Canselor USM, Dato’ Seri Prof. Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.

Penerima Anugerah Tokoh Akademik Negara menerima wang tunai RM200,000 berserta trofi dan sijil, manakala penerima kategori lain masing-masing menerima RM50,000 dan RM25,000 bagi Anugerah Ahli Akademik Harapan, selain trofi serta sijil.

AAN merupakan program tahunan KPT dilaksanakan sejak 2002 di bawah kendalian Bahagian Kecemerlangan Akademik, Jabatan Pendidikan Tinggi, yang pada tahun ini dianjurkan dengan kerjasama USM dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

  • Last updated on .
  • Hits: 29
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Thursday 05 November 2026, 11:12:08.

sirim-logo