iFUTURE 2026: Kepimpinan Berteraskan Nilai dan Pengaruh Positif, Bentuk Generasi Masa Hadapan

iFUTURE 2026: Kepimpinan Berteraskan Nilai dan Pengaruh Positif, Bentuk Generasi Masa Hadapan
English translation not available for this content.

13 Oktober 2026 | Kuala Lumpur

Kepimpinan berteraskan nilai dan keupayaan menggunakan pengaruh secara positif perlu menjadi asas dalam membentuk generasi pemimpin masa hadapan yang mampu mendepani cabaran era digital.

Perkara itu diketengahkan menerusi Forum Tiga iFUTURE 2026 bertajuk “Memimpin dengan Pengaruh: Membina Nilai dalam Era Digital” yang membincangkan kepentingan nilai dalam membimbing tindakan serta membentuk pengaruh pemimpin secara bertanggungjawab.

Forum itu menampilkan Prof. Madya Dr. Ahmad El-Muhammady dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka YB Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halim sebagai ahli panel, manakala Ketua Bakat Digital Tertiari dan Keusahawanan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Nik Hishamuddin Nik Mohd Yusof bertindak sebagai hos.

Selain itu, siri khas iFUTURE 2026 bertemakan “Memimpin dengan Tujuan: Membentuk Generasi Seterusnya” memberi penekanan kepada kepentingan matlamat yang jelas dalam membimbing generasi muda menjadi pemimpin yang berprinsip dan bertanggungjawab.

Sesi itu menampilkan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Provos Universiti Sunway, Prof. Dr. Abhimanyu Veerakumarasivam sebagai ahli panel, manakala Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Dato’ Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran bertindak sebagai hos.

Penganjuran kedua-dua sesi itu menghimpunkan tokoh daripada bidang akademik, pentadbiran awam dan industri digital bagi berkongsi pandangan tentang pembinaan nilai, penggunaan pengaruh secara positif dan kepentingan hala tuju yang jelas dalam melahirkan pemimpin muda yang mampu menyumbang kepada masyarakat dan negara.

  • Last updated on .
  • Hits: 59
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 14 October 2026, 10:53:34.

sirim-logo