iFUTURE 2026: Belia Perlu Bertindak dan Jadi Agen Perubahan

iFUTURE 2026: Belia Perlu Bertindak dan Jadi Agen Perubahan
English translation not available for this content.

13 Oktober 2026 | Kuala Lumpur

Golongan belia perlu beralih daripada sekadar mengkritik isu masyarakat kepada tindakan yang membawa perubahan, termasuk berani mengambil tanggungjawab dalam menentukan hala tuju masa depan negara.

Mesej itu diketengahkan dalam Siri Khas Sidang Kemuncak Antarabangsa Pemimpin Muda Masa Hadapan (International Young Future Leaders Summit, iFUTURE) 2026 bertemakan “Daripada Warganegara kepada Penggerak Perubahan: Bagaimana Pemimpin Muda Dapat Mempengaruhi Masa Hadapan” (From Citizen to Changemaker: How Young Leaders Can Influence the Future) di sini pagi tadi.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Tuan Adam Adli Abd Halim, yang mengendalikan sesi itu, membuka perbincangan dengan mengajak peserta menilai perbezaan antara menyuarakan ketidakpuasan hati dengan mengambil tindakan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam kehidupan seharian.

Beliau turut menggalakkan mahasiswa daripada pelbagai universiti dan negara memanfaatkan ruang dialog untuk berkongsi pengalaman, mengemukakan persoalan serta meneliti pandangan berbeza bagi memperluas pemahaman tentang peranan mereka sebagai pemimpin masa hadapan.

Dalam mengupas pengalaman kepimpinan belia, YB Tuan Adam Adli membangkitkan perjalanan Raj Joshua Thomas, bekas Ahli Parlimen Dilantik, Republik Singapura (Former Nominated Member of Parliament of Singapore), yang memulakan penglibatan melalui kepimpinan mahasiswa sebelum memperluas sumbangan kepada kebajikan pekerja berpendapatan rendah dan isu masyarakat.

Raj berkata penglibatannya dalam majlis perwakilan pelajar bermula daripada keinginan memperbaiki kebajikan mahasiswa, termasuk kemudahan pengangkutan kampus dan ruang pembelajaran, sebelum mendorongnya menyertai kegiatan kemasyarakatan serta tanggungjawab awam yang lebih luas.

Sementara itu, Pegawai Khas kepada YAB Timbalan Perdana Menteri II (Special Officer to the Deputy Prime Minister II), Neow Choo Seong, berkongsi pengalaman beralih daripada kepimpinan mahasiswa di Universiti Utara Malaysia (UUM) kepada perkhidmatan diplomatik, yang memberinya pendedahan terhadap proses penggubalan dasar dan kepentingan tadbir urus yang baik.

Beliau menjelaskan bahawa kepimpinan menuntut tanggungjawab melangkaui kepentingan diri, manakala perbezaan fahaman politik tidak seharusnya menghalang kerjasama apabila sesuatu perkara bertujuan membawa manfaat kepada rakyat dan negara.

Mengulas perkara itu, YB Tuan Adam Adli menekankan kepentingan kematangan dalam membuat pertimbangan sebelum seseorang menceburi bidang politik, khususnya dalam memahami latar sejarah, keunikan identiti negara serta kepentingan memelihara keharmonian masyarakat.

Perbincangan yang turut melibatkan sesi soal jawab bersama mahasiswa itu menyentuh cabaran maklumat palsu yang dijana kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI), termasuk keperluan menangani penyalahgunaan teknologi tanpa menjejaskan kebebasan bersuara atau membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa.

Raj berpandangan bahawa kekurangan pengalaman tidak seharusnya menghalang belia daripada memimpin selagi mereka mempunyai niat yang betul, keupayaan membuat keputusan dan kesediaan menghasilkan penyelesaian yang sesuai dengan perubahan semasa.

Neow pula menegaskan bahawa kuasa perlu disertai tanggungjawab dan mekanisme semak dan imbang, selain mengingatkan mahasiswa supaya membina jaringan persahabatan merentasi negara bagi memanfaatkan pengalaman serta pengetahuan mereka untuk membantu masyarakat masing-masing.

Mengakhiri sesi itu, YB Tuan Adam Adli mengingatkan peserta bahawa golongan muda bakal mewarisi kesan daripada keputusan yang dibuat pada hari ini, justeru penyertaan aktif mereka dalam masyarakat perlu disertai kesedaran, kematangan dan kesediaan memikul tanggungjawab terhadap masa depan negara.

  • Last updated on .
  • Hits: 38
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 14 October 2026, 10:53:34.

sirim-logo