Huawei, Western Digital Sedia Bangunkan Bakat Digital Bersama KPT

Huawei, Western Digital Sedia Bangunkan Bakat Digital Bersama KPT
English translation not available for this content.

Statistik tahun 2022 oleh Jabatan Perangkaan menunjukkan bahawa ekonomi digital di Malaysia merangkumi 22.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sekali gus menjadi antara penyumbang utama ekonomi negara.

Malah, menjelang 2025, pakar turut meramalkan pertumbuhan ekonomi digital Malaysia akan berkembang sehingga 25%, di samping sekurang-kurangnya 500 ribu pekerjaan baharu berkaitan sektor tersebut akan mula ditawarkan kepada graduan tempatan.

YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi menyedari pentingnya membangunkan bakat graduan dalam sektor tersebut mengalu-alukan penglibatan syarikat-syarikat gergasi industri untuk sama-sama memainkan peranan secara aktif bersama Kementerian.

Pagi tadi, gergasi digital dunia, Huawei, yang diwakili oleh Encik Simon Sun, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia telah membuat kunjungan hormat ke atas YB Menteri di pejabatnya.

Selain Huawei, delegasi yang diketuai oleh YBhg. Datuk Raghu Bathamenadan, Naib Presiden merangkap Pengarah Urusan, KL Center of Excellence dari Western Digital Malaysia juga telah turut mengadakan kunjungan hormat ke atas YB Menteri.

Kedua-dua kunjungan tersebut telah membuka ruang kesefahaman antara Kementerian dan industri bagi membincangkan berkenaan program pembangunan bakat digital yang telah dirancang dan dilaksanakan di beberapa IPT tempatan sebagai sokongan dari pihak industri dalam merealisasikan azam serta aspirasi YB Menteri.

Harapannya, jalinan sektor Kerajaan dan Swasta ini dapat menyediakan bakat digital tersedia yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi digital Malaysia yang mapan menjangkau tahun 2025.

  • Last updated on .
  • Hits: 3495
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.