Hari Akademia 2026 Angkat Sumbangan Warga Akademia, Serlah Sinergi Ilmu, Teknologi dan Inovasi

5 Oktober 2026 | Kuala Lumpur
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir hari ini menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Akademia dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 sebagai wadah menghargai sumbangan warga akademia selain mengetengahkan hala tuju pendidikan tinggi yang berteraskan ilmu, teknologi dan inovasi.
Berlangsung di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM), sambutan bertemakan “Sinergi Ilmu, Teknologi dan Inovasi Dalam Akademia” itu menghimpunkan lebih 1,000 warga akademia dan pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dari seluruh negara.
YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry berkata warga akademia mempunyai peranan besar dalam membentuk generasi yang berilmu, berkemahiran, berintegriti dan berdaya tahan, selain menyumbang kepakaran kepada pembangunan pendidikan tinggi dan negara.
Beliau berkata sinergi ilmu, teknologi dan inovasi perlu diterjemahkan melalui pengajaran dan pembelajaran berkualiti, penyelidikan berimpak, penghasilan inovasi serta kerjasama antara IPT, industri, komuniti dan pelbagai pemegang taruh.
Sehubungan itu, beliau menggariskan lima (5) penekanan kepada warga akademia yang meliputi peningkatan mutu pengajaran; kerjasama merentas disiplin dan institusi; mempercepatkan hasil penyelidikan kepada penggunaan; mendekatkan akademia dengan masyarakat; serta membina ekosistem yang menyokong warga akademia.
Menurut beliau, hasil penyelidikan perlu diberi laluan untuk diuji, dibangunkan dan digunakan dengan sokongan industri, pelabur serta kepakaran pengurusan harta intelek dan pengkomersialan supaya penemuan yang baik berpeluang memberi perubahan kepada kehidupan.
Dalam mendepani era kecerdasan buatan (AI), beliau menegaskan pendidikan perlu membentuk keupayaan pelajar untuk bertanya dengan tepat, menilai bukti dan membuat pertimbangan, manakala penggunaan AI perlu dipandu oleh kejujuran, ketepatan maklumat, perlindungan data dan penghormatan terhadap hak cipta.
Beliau turut menekankan kepentingan pembentukan “otak dan watak” bagi melahirkan graduan yang tajam pemikirannya, teguh prinsip serta peka terhadap kehidupan orang lain, dengan nilai tersebut perlu dibentuk melalui teladan warga akademia yang menjunjung integriti ilmu.
Sambutan itu turut mengetengahkan pencapaian UM yang memasuki kelompok 200 universiti terbaik dunia dalam Times Higher Education World University Rankings 2027, selain kejayaan warga akademia dan pelajar IPT Malaysia di peringkat antarabangsa.
Pada majlis sama, turut diketengahkan inisiatif pembangunan akademia termasuk Transformative Educators Development (TRANSCEND) serta kursus kelayakan mikro AI for Everyone (AI4E) dan AI for Health (AI4H) di bawah inisiatif AI 4 Nation UM yang menyokong pembangunan kompetensi akademik dan literasi AI.
Turut hadir, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim; Timbalan KSU (Pengurusan dan Pembangunan l), Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; Timbalan KSU (Dasar) KPT, Encik Ahmad Rizal Adnan; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; serta Pengerusi Lembaga Pengarah UM; Tan Sri Zarinah Anwar; Naib Canselor UM, Dato’ Seri Prof. Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman.
- Last updated on .
- Hits: 45
