85,000 Mahasiswa UiTM Sertai Seminar Yayasan Ilmuwan Islam Malaysia, Wacana Semarak Patriotisme, Bina Generasi Berilmu dan Berkepakaran

4 Oktober 2026 | Shah Alam, Selangor
Kira-kira 85,000 orang mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) dihimpunkan menerusi Wacana Semarak Patriotisme: Seminar Ilmuwan Islam Malaysia 2026 sebagai wadah keilmuan untuk membentuk generasi berilmu, berakhlak, berjati diri serta bersedia menggerakkan masa depan negara.
Program yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam itu menghimpunkan kira-kira 5,000 orang mahasiswa secara bersemuka, manakala lebih 80,000 orang peserta mengikuti program menerusi penstriman langsung dalam talian dengan pengisian meliputi ucaptama, syarahan, ulasan dan komentar serta dialog dan diskusi.
Mengangkat tema “Pewaris Amanah Bangsa, Penggerak Masa Depan Negara”, program anjuran Yayasan Ilmuwan Islam Malaysia dengan kerjasama UiTM berkenaan menampilkan barisan pemimpin dan tokoh ilmuwan melalui pengisian yang membincangkan sejarah perjuangan bangsa, peranan mahasiswa membentuk naratif baharu Malaysia serta tanggungjawab generasi muda dalam menentukan masa depan negara.
Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang merasmikan seminar itu berkata mahasiswa perlu memiliki kebebasan berfikir berasaskan ilmu dan bukti bagi menghadapi cabaran maklumat yang semakin pantas serta dipengaruhi algoritma media sosial.
Beliau berkata prinsip tabayyun perlu menjadi amalan dalam menilai maklumat dengan menyelidiki sesuatu perkara sebelum mempercayai atau menyebarkannya, selain mengingatkan bahawa kepantasan tidak semestinya menjamin ketepatan.
“Cepat itu belum tentu tepat,” katanya sambil mengingatkan mahasiswa supaya tidak mengorbankan pertimbangan dan adab semata-mata untuk mendapatkan perhatian, perkongsian atau komen di media sosial.
YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid turut menggesa mahasiswa membina kepakaran merentas disiplin serta menguasai teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), selain mencabar UiTM meneroka bidang teknologi kuantum sebagai persediaan menghadapi perkembangan ilmu dan ekonomi masa hadapan.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menerusi syarahannya yang bertajuk “Sejarah Perjuangan Bangsa Mencorak Masa Depan Negara” menegaskan bahawa tradisi universiti ialah tradisi ilmu yang bertujuan membentuk manusia melalui pengetahuan, akhlak dan adab.
Beliau berkata mahasiswa perlu membina tiga (3) keupayaan utama iaitu pencari ilmu, penyelesai masalah dan pembina negara, selaras dengan sejarah UiTM yang bermula sebagai Dewan Latihan RIDA pada 1956 sebelum berkembang sebagai Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang kini mempunyai kira-kira 180,000 orang mahasiswa dan telah melahirkan lebih sejuta orang graduan.
Mengakhiri amanatnya, YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid menitipkan tiga (3) amanah kepada mahasiswa iaitu merdekakan akal, menguasai kepakaran dan berkhidmat dengan amanah, selain menggesa laluan daripada pendidikan tinggi kepada pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan terus diberi perhatian bagi memastikan ilmu dan kemahiran yang diperoleh dapat diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, pendapatan serta sumbangan kepada negara.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Dr. Haji Ahmad Maslan: Pengerusi Yayasan Ilmuwan Islam Malaysia, Dato’ Dusuki Ahmad; Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Dato’ Seri Haji Mohamed Kamil Jamil; Naib Canselor UiTM, Datuk Prof. Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin; serta Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
- Last updated on .
- Hits: 73
