Forum 'Talk To Us' Cetus Inspirasi Mahasiswa Baharu UMS Jadi Pemimpin Luar Biasa
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud hari ini berinteraksi secara santai bersama lebih 500 mahasiswa baharu Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Forum “Talk To Us” (TTU) yang diadakan di Kompleks Dewan kuliah Pusat Ke-2 UMS.
Program tersebut bertujuan memperkukuh hubungan dua hala antara kepimpinan kementerian dengan mahasiswa melalui perkongsian pengalaman, inspirasi dan aspirasi masa depan.
Sebagai moderator forum, YB Datuk Ts. Mustapha memberi peluang kepada mahasiswa untuk mendengar secara langsung pandangan dan pengalaman berharga daripada tiga panel jemputan yang terdiri daripada tokoh-tokoh berjaya UMS, iaitu Leoh E Mui (Tokoh Alumni), Roslan Abdullah (Tokoh Pelajar) dan Mohd. Azhar Ramali (Wakil Industri). Ketiga-tiga panel tersebut berkongsi kisah perjalanan akademik serta bagaimana pengalaman mereka di UMS membentuk kerjaya dan keperibadian masing-masing.
Menurut YB Datuk Ts. Mustapha, forum seperti ini bukan sekadar sesi dialog, tetapi wadah penting untuk melahirkan mahasiswa yang mempunyai keberanian, jati diri serta semangat kepimpinan. “Saya tidak mahu hanya orang politik yang bercakap, tetapi biarlah alumni dan senior anda turut berkongsi pengalaman. Dari sini, kita boleh mencungkil pelapis dan bakat-bakat terbaik negara,” ujar beliau.
Beliau juga mengingatkan mahasiswa supaya tidak hanya menjadi pelajar biasa yang terikat dengan bilik kuliah semata-mata. Sebaliknya, mahasiswa perlu menjadi individu luar biasa yang aktif mencari ilmu, pengalaman serta terlibat dalam kerja-kerja kemasyarakatan. “Belajar bersungguh-sungguh, sertai aktiviti dan berbaktilah kepada masyarakat. Kelak anda akan menyedari bahawa pengalaman di UMS inilah yang membentuk siapa anda kelak,” katanya.
Beliau turut memetik kata-kata Presiden pertama Indonesia, Soekarno, “Beri aku 10 orang pemuda, nescaya kugoncang dunia.” Menurut beliau, mahasiswa Sabah bukan sahaja berpotensi menggoncang dunia, malah mampu mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa. “Anda semua adalah bakal pemimpin masa depan. Cipta masa depan anda dengan ilmu dan tekad,” tambahnya.
Dalam majlis yang sama, YB Datuk Ts. Mustapha turut menyempurnakan penyerahan bantuan di bawah dua inisiatif utama kementerian. Seramai 80 orang pelajar baharu menerima manfaat di bawah Program Siswa SULUNG UMS yang menawarkan pengecualian yuran pengajian sepanjang tempoh pengajian dengan jumlah keseluruhan bernilai RM483,000.
Selain itu, 18 orang siswazah berkeperluan turut menerima Bantuan Pendidikan Awal (BPA) daripada Yayasan Perkasa Siswa berjumlah RM1,000 setiap seorang, sebagai sokongan awal bagi meringankan beban kewangan semasa memulakan pengajian di universiti.
Forum “Talk To Us” ini bukan sahaja memperlihatkan pendekatan mesra dan terbuka kementerian, malah menjadi platform penting bagi mahasiswa untuk menyuarakan pandangan serta mendapatkan inspirasi daripada tokoh-tokoh yang pernah melalui laluan sama di universiti tersebut seiring dengan hasrat menjadikan mahasiswa Malaysia sebagai ejen perubahan dan pemimpin masa depan negara.
Turut hadir dalam majlis tersebut Prof. Madya Dr. Raman Noordin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS yang mewakili Naib Canselor UMS.
- Last updated on .
- Hits: 576