English translation not available for this content.

logo kpt black

SIARAN MEDIA

KPT MULAKAN PROGRAM SEMARAK KAMPUS MADANI, JELAJAH TURUN PADANG KE IPT DI 16 ZON SELURUH NEGARA

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memulakan program Semarak Kampus MADANI atau Jerayawara KPT iaitu siri jelajah ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) termasuk Universiti Awam, Swasta, Politeknik dan Kolej Komuniti di 16 zon seluruh negara.

Negeri Sarawak menjadi zon pertama yang dipilih KPT bermula 5 hingga 6 Mac 2024, dihoskan oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) serta Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) menerusi beberapa institusi dibawahnya.

Program Semarak Kampus MADANI ini merupakan hasil cetusan idea Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir seperti diumumkan dalam Majlis Landasan Hala Tuju Kementerian Pendidikan Tinggi 2024 di Universiti Malaya pada 12 Januari lalu.

Berkonsepkan program turun padang, YB Menteri KPT bersama Timbalan Menteri dan pengurusan tertinggi KPT akan melihat situasi sebenar di peringkat institusi dan mendengar sendiri keluh kesah pelaksanaan dasar di peringkat akar umbi. Ini bagi memastikan aspek kebajikan terutamanya bagi para pelajar dan kakitangan dititikberatkan.

Pelbagai program direncanakan dan kesemua kumpulan komuniti institusi diraikan dalam siri jelajah ini bagi memperkukuhkan kerjasama strategik dan kolaborasi antara Kementerian dengan Universiti Awam (UA), Swasta, Politeknik dan Kolej Komuniti serta pemegang taruh pendidikan tinggi di peringkat Kerajaan Negeri menerusi kunjungan hormat YB Menteri/ Timbalan kepada Canselor, Menteri Besar atau Ketua Menteri.

YB Menteri berserta pengurusan tertinggi KPT turut dijadual akan bermalam di kolej kediaman bagi merasai sendiri pengalaman 'kembali ke kampus'. Selain itu, beberapa program lain turut dijadualkan berlangsung di Politeknik Kuching.

Pendekatan program ini diharap menjadi satu medan untuk warga menyampaikan aspirasi dan kepimpinan pula mendengar semua isu yang timbul di segenap lapisan seterusnya mewujudkan usaha ke arah penyelesaian secara tuntas di samping mengeratkan hubungan antara kepimpinan KPT dan warganya.

 

Kementerian Pendidikan Tinggi
5 MAC 2024

Muat Turun:

  pdf Siaran Media - KPT Mulakan Program Semarak Kampus MADANI, Jelajah Turun Padang Ke IPT Di 16 Zon Seluruh Negara (107 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 5420
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.