SIARAN MEDIA
KPT ANJUR HARI TERBUKA PENDIDIKAN TINGGI NEGARA PADA 23 OKTOBER DEPAN UNTUK BERI PELUANG ORANG AWAM MENILAI CADANGAN SEMAKAN DAN KAJIAN SEMULA SEKTOR PENDIDIKAN TINGGI KEBANGSAAN
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin ketika menyampaikan amanat tahun baharu 2023 pada Januari lalu telah mengumumkan pembentukan Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (National Review Committee atau NRC) yang ditugaskan untuk menilai semula kesemua dasar dan polisi dalam bidang kuasa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang mengambil kira realiti semasa ekosistem pendidikan tinggi negara. Ia dilaksanakan supaya sistem pendidikan tinggi Malaysia dapat berdaya saing seiring dengan sistem pendidikan global yang semakin kompetitif.
Jawatankuasa ini telah meneliti ekosistem pendidikan tinggi secara menyeluruh serta mengenal pasti cabaran-cabaran yang ditempuhi oleh para pelajar, sektor institusi pendidikan tinggi, serta sektor industri berkaitan.
Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Sri Idris Jala, ini turut dianggotai oleh individu-individu berpengalaman dan berkepakaran dalam sektor pendidikan tinggi.
Ahli-ahli tersebut terdiri daripada Tokoh Akademik Negara dari Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia, YBhg. Datin Paduka Prof. Dr. Khatijah Mohamad Yusoff; pakar pendidikan tinggi global, YBrs. Dr. Jamil Salmi;
Pengasas dan Pengarah Bait Al Amanah, YBrs. Dr. Abdul Razak Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik, YBhg. Datuk Parmjit Singh; Pengarah Urusan dan Rakan Pengurusan Boston Consulting Group, Nurlin Salleh; Penasihat Pendidikan Menteri, YBhg. Dato’ Professor Emeritus Dr. Morshidi Sirat; Ketua Pegawai Eksekutif The HEAD Foundation, YBrs. Dr. Wan Chang Da; dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBrs. Profesor Dr. Azlinda Azman.
NRC juga telah menubuhkan satu pasukan petugas khas yang dianggotai wakil-wakil dari Kementerian dan Universiti seperti KPT; Agensi Kelayakan Malaysia; Jabatan Pendidikan Tinggi; Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi; Universiti Putra Malaysia; Universiti Malaya; University of Cyberjaya; perunding daripada PEMANDU Associates; PWC; dan BCG. Pasukan tugas- tugas khas ini bertanggungjawab untuk menilai semula keberkesanan dasar- dasar dan polisi pendidikan tinggi kebangsaan sedia ada.
Pasukan petugas khas ini telah bersidang dalam sesi-sesi ‘Mini-Lab’ yang sangat kolaboratif untuk mengenal pasti bidang-bidang yang perlu diperbaiki dan penyelesaian yang boleh dikategorikan sebagai perubahan transformasi, langkah pantas (quick-wins) dan pembolehubah jangka panjang. Sesi ‘Mini- Lab’ ini telah dihadiri seramai 220 individu mewakili lebih 115 organisasi yang terlibat aktif dalam ekosistem pendidikan tinggi di Malaysia.
NRC bersama pasukan petugas khas ini juga bertanggungjawab untuk mengesyorkan penyelesaian yang bukan sahaja realistik, malah dapat membantu pelaksanaannya dengan kadar segera. Melalui sesi ‘Mini-Lab’ ini juga, pasukan petugas khas telah menyemak semula kesemua 874 isu awal yang dikenal pasti kepada 58 isu berkeutamaan tinggi berserta cadangan penyelesaiannya.
Cadangan-cadangan utama ini akan dipamerkan kepada orang awam di Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara pada 23 Oktober di lobi utama KPT, Putrajaya bermula jam 10 pagi hingga 5 petang.
Justeru, KPT mengalu-alukan kebersamaan semua rakyat Malaysia untuk turun dan mengambil peluang berinteraksi dengan komuniti ekosistem pendidikan tinggi negara merangkumi kementerian, jabatan dan agensi di bawah KPT, institusi-institusi pendidikan tinggi, serta pelajar-pelajar dari institusi awam, swasta, politeknik dan institusi vokasional.
Kementerian Pendidikan Tinggi
10 Oktober 2023
Muat Turun
pdf Siaran Media KPT Anjur Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara.pdf (123 KB)
- Last updated on .
- Hits: 9293