SIARAN MEDIA
HAWANA 2026: KPT TAWAR PEMERIKSAAN KESIHATAN KEPADA
PENGAMAL MEDIA MELALUI KEPAKARAN HPU
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited memperkukuh kerjasama strategik bersama pengamal media menerusi penganjuran Program SIHAT SELALU #RakanMediaKPT bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 pada hari ini.
Inisiatif yang digerakkan melalui Unit Komunikasi Korporat (UKK) KPT ini merupakan satu bentuk penghargaan atas peranan pengamal media menyalurkan maklumat sahih kepada masyarakat, di samping menyokong kuat agenda pendidikan tinggi negara.
Tujuan utamanya adalah bagi memastikan kesihatan para pengamal media kekal optimum di sebalik tuntutan kerjaya dan jadual kerja yang cukup padat.
Peranan Hospital Pengajar Universiti (HPU) & Pemindahan Ilmu
Bagi merealisasikan objektif tersebut, KPT telah membawa terus kepakaran perubatan ke lokasi petugas media melalui kerjasama tiga (3) buah Hospital Pengajar Universiti (HPU). Inisiatif serampang dua mata ini bukan sekadar menawarkan rawatan dan saringan yang bersesuaian dengan keperluan kerjaya penyiaran, malah ia menonjolkan kepakaran klinikal serta fasiliti moden HPU secara langsung kepada media.
Lebih bermakna, kepakaran ini turut bertujuan untuk memindahkan ilmu penjagaan kesihatan kepada masyarakat. Melalui jalinan erat ini, pengamal media diharap dapat bertindak sebagai perantara penting dalam menyebarluaskan kesedaran dan literasi kesihatan kepada segenap lapisan rakyat.
Program SIHAT SELALU #RakanMediaKPT
Buat permulaan, program yang berlangsung sepanjang hari ini diadakan secara serentak di tiga buah organisasi media dengan pengkhususan perkhidmatan kesihatan seperti berikut:
1) Radio Televisyen Malaysia (RTM)
Berlangsung di Lobi Wisma Berita Angkasapuri Kota Media, perkhidmatan ini dijayakan oleh Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM). Khidmat yang ditawarkan termasuklah saringan kesihatan asas, sokongan hayat asas (Basic Life Support - CPR), saringan kanser prostat, dan konsultasi pengurusan berat badan.
2) Media Prima Berhad
Bertempat di Lobi Anjung Riong, Bangsar, pasukan petugas dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Universiti Malaya (UM) bersama ROSE Foundation menumpukan saringan kepada penyakit tidak berjangkit dan kanser. Ini merangkumi saringan risiko kesihatan jantung, kencing manis, darah tinggi, kolesterol, serta saringan kanser payudara, usus, tekak dan pangkal rahim, termasuk pemeriksaan ultrasound berfokus.
3) Astro
Berlangsung di pekarangan lobi Astro Bukit Jalil, kemudahan saringan disediakan oleh Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Perkhidmatan ditawarkan merangkumi ujian peti suara (Voice Assessment), saringan kesihatan kulit (Dermascope), saringan fungsi paru-paru (Spirometry), dan saringan kesihatan buah pinggang.
Secara keseluruhannya, langkah turun padang ini bukan sahaja memberi manfaat kelestarian kesihatan secara langsung kepada pengamal media menerusi pencegahan awal penyakit, malah mencerminkan komitmen berterusan KPT dalam menyokong kebajikan warga media dan menghargai jasa mereka kepada pembangunan negara.
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
24 JUN 2026
Muat Turun:
- Last updated on .
- Hits: 692
