SIARAN MEDIA
FESTIVAL IDEA PUTRAJAYA DIPERLUAS KE SELURUH NEGARA
BERMULA OKTOBER 2025
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan meneruskan penganjuran Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2025 dengan skala yang lebih besar iaitu diperluas ke seluruh negara di 13 Negeri sepanjang Oktober 2025.
Festival Idea @ Negeri ini akan menjelajah ke Universiti Awam (UA), sinergi bersama Politeknik dan Kolej Komuniti dengan acara kemuncaknya akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula 4 hingga 8 November 2025.
Bertemakan “MADANI: Melakar Masa Depan, Merealisasikan Idea”, Putrajaya FOI 2025 ini merupakan manifestasi kolaborasi ‘whole-of-government approach’, melibatkan pelbagai kementerian, agensi, dan industri bagi menjana wacana intelektual serta inovasi yang dapat dikongsi bersama seluruh rakyat.
Putrajaya FOI 2025 akan menampilkan pelbagai program berimpak tinggi, termasuk persidangan, forum, pameran, dan sesi libat urus yang memberi tumpuan kepada bidang pendidikan tinggi, penyelidikan, inovasi, dan keusahawanan.
Ruang khas turut disediakan untuk mahasiswa bagi mempamerkan hasil kreativiti dan inovasi mereka, menawarkan pandangan segar dan berani untuk masa depan.
Seiring dengan agenda Malaysia MADANI, penganjuran festival ini dijangka akan memperkukuh pembangunan modal insan, memantapkan jaringan kerjasama antara IPT, industri dan komuniti, serta mempercepatkan langkah Malaysia sebagai hab ilmu pengetahuan dan inovasi serantau.
Majlis perasmian festival dijadualkan pada 5 November 2025 dan bakal disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri. Lebih istimewa, sesi Titah Diraja turut direncanakan dalam penganjuran Putrajaya FOI 2025 ini.
Memasuki tahun kedua penganjuranya, KPT yakin Putrajaya FOI 2025 bukan sekadar medan pertemuan idea, tetapi juga wadah utama untuk merealisasikan solusi berasaskan ilmu dan kreativiti demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negara.
Oleh itu, orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan festival berprestij ini.
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
29 September 2025
Muat Turun:
pdf Siaran Media - Festival Idea Putrajaya Diperluas Ke Seluruh Negara Bermula Oktober 2025(139 KB)
- Last updated on .
- Hits: 3200