English translation not available for this content.

logo kpt black

SIARAN MEDIA

EKSPO 2025 OSAKA: KPT KETENGAH KEUNIKAN DAN KELEBIHAN
PENGAJIAN IPT MALAYSIA DI PERSADA ANTARABANGSA


Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memanfaatkan platform antarabangsa Ekspo 2025 Osaka sebagai landasan strategik untuk memperkenalkan kekuatan dan keunikan pendidikan tinggi negara kepada dunia.

Penyertaan rasmi dalam Pavilion Malaysia yang dikelolakan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada Minggu ke-15 digunakan sepenuhnya untuk menonjolkan kualiti akademik, inovasi penyelidikan serta keterbukaan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia kepada kerjasama global.

Minggu Pendidikan Tinggi (Higher Education Week) yang bertemakan Study in Malaysia telah dirasmikan secara dalam talian oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir pagi tadi.

Program ini memberi tumpuan kepada usaha menarik lebih ramai pelajar antarabangsa menyambung pengajian di Malaysia, di samping memperlihatkan pencapaian dan kejayaan IPT negara melalui hasil inovasi dan penyelidikan berimpak tinggi.

Dalam ucapannya, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry memaklumkan bahawa landskap pendidikan tinggi Malaysia terus berkembang sebagai hab serantau yang menawarkan program pengajian bertaraf antarabangsa dengan nilai tambah kekuatan tempatan.

“IPT di Malaysia sentiasa bersedia menjalinkan kerjasama. Minggu ini menyaksikan lebih daripada 20 buah universiti dan agensi menyertai pameran bagi menonjolkan kecemerlangan pendidikan tinggi negara.

Kita turut memperkenalkan Edutourism Gateway, iaitu sebuah gerbang digital untuk pelajar antarabangsa mengikuti model pembelajaran yang digabungkan dengan pelancongan, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terkemuka dunia,” ujar beliau dalam ucapan perasmian secara maya.

Tambah beliau, Malaysia merupakan destinasi pengajian pilihan bagi pelajar antarabangsa berdasarkan beberapa faktor utama seperti program pengajian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, kecemerlangan IPT dengan penarafan global, kos pengajian dan sara hidup yang berpatutan, jaminan keselamatan, serta keunikan masyarakat majmuk yang harmoni.

Sepanjang penganjuran Minggu Pendidikan Tinggi ini, pelbagai aktiviti interaktif, perkhidmatan, pameran inovasi dan penyelidikan, sesi perkongsian, pemeteraian kerjasama strategik dan promosi telah dirangka dengan penglibatan agensi-agensi di bawah KPT termasuk IPT awam dan swasta.

Delegasi KPT diketuai oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dato’ Dr. Haji Mohd Zahari Ismail.

Penyertaan Malaysia dalam Ekspo 2025 Osaka yang menghimpunkan lebih 150 buah negara ini diyakini mampu menjana peluang kerjasama strategik baharu dalam ekosistem pendidikan tinggi negara, selaras aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai daya cipta, keterjaminan, dan keyakinan dalam melahirkan bakat terbaik untuk masa depan negara.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
22 Julai 2025

Muat Turun:

  pdf Siaran Media = Ekspo 2025 Osaka: KPT Ketengah Keunikan dan Kelebihan Pengajian IPT Malaysia di Persada Antarabangsa(161 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 1785
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Tuesday 12 August 2025, 03:42:03.

sirim-logo