English translation not available for this content.

logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

KENYATAAN MEDIA UPSI SMARTHOME SCHOOLING@JOHOR BANTU TINGKATKAN KUALITI PENDIDIKAN MURID B40


22 JULAI 2023, KOTA TINGGI - Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini telah merasmikan UPSI Smarthome Schooling@Johor di Sekolah Menengah Kebangsaan Jaafar Albar, Kota Tinggi, Johor. Dalam masa yang sama, sesi menandatangani Surat Akujanji (LoU) di antara enam (6) buah sekolah di Daerah Kota Tinggi iaitu SMK Air Tawar, SMK Seri Aman, SMK Bandar Easter, SMK Lokman Hakim, SMK Tan Sri Jaafar Albar dan SMK Bandar Kota Tinggi turut diadakan.

Dengan peruntukan sebanyak RM30,479.00, program UPSI Smarthome Schooling@Johor bertujuan untuk membantu meningkatkan kualiti pendidikan murid B40 berfokus kepada calon SPM 2023 dalam lima (5) mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah serta menggunakan lima (5) modul komprehensif berasaskan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dari penulis berpengalaman, disertakan nota ringkas dan padat serta soalan latihan berfokus.

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi dan Majlis Belia Daerah Kota Tinggi, bakal mengadakan program ini bermula pada 1 Ogos 2023 sehingga 22 Oktober 2023, melibatkan enam (6) buah sekolah terlibat.

Melalui program ini juga, UPSI memberikan khidmat bantuan kepakaran akademia UPSI kepada komuniti berkonsepkan “Educating Communities” sekaligus menyahut seruan YB Menteri agar meningkatkan lagi penglibatan universiti dalam masyarakat dan komuniti.

Program ini turut memberikan pendedahan kepada mahasiswa secara autentik dalam dunia pendidikan bagi menangani situasi pandemik. Selain itu, ia juga memberi pengiktirafan kepada ikon alumni UPSI sebagai pakar rujuk bidang pendidikan di Malaysia. Tenaga pengajar yang terlibat adalah terdiri daripada Alumni UPSI & mahasiswa UPSI. Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPr) secara kelas juga akan dilaksanakan secara bersemuka dan melalui saluran Youtube.

Program ini diharap dapat melonjakkan kendiri serta memperkukuhkan Efikasi Kendiri & Motivasi, juga meningkatkan kestabilan emosi dan jati diri setiap pelajar. Ianya juga akan membantu membuka laluan kerjaya pada masa hadapan kepada semua pelajar yang terlibat.

Pada majlis ini juga, YB Menteri turut menyerahkan sumbangan melanjutkan pelajaran dari Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Tinggi kepada pelajar yang berkenaan serta penyerahan sumbangan bantuan one-off berjumlah RM58,000 kepada tujuh (7) buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Tan Sri Jaafar Albar, Sekolah Kebangsaan Seri Setia Jaya, Sekolah Kebangsaan LKTP Tenggaroh Selatan, Sekolah Kebangsaan Lok Heng Selatan, Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Easter, Sekolah Kebangsaan Datuk Ismail Saadon dan Sekolah Kebangsaan Sedili Kecil.

Turut berlangsung ialah sesi penyerahan sijil Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan peruntukan sebanyak RM454,500 kepada 303 pelajar di kawasan Kota Tinggi yang berjaya melanjutkan pengajian diperingkat Diploma di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).

Di akhir program, YB Menteri turut merasmikan Bas Pendidikan atau UPSI Edu Bus yang merupakan satu medium pendidikan mobil dengan dilengkapi alatan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), selari dengan kurikulum terkini, dengan penambahbaikan dari sudut pendigitan pendidikan. Dengan kerjasama bersama Creative Mind Sdn. Bhd. dan Yayasan Telekom Malaysia Berhad, program TM Future Skill Certification dijalankan secara selari dengan pergerakan bas ke sekolah-sekolah untuk memberi pendedahan berkaitan dunia digital dan literasi STEM dalam kerjaya.

Kementerian Pendidikan Tinggi
22 JULAI 2023

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media UPSI Smarthome Schooling@Johor Bantu Tingkatkan Kualiti Pendidikan Murid B40 (146 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 8951
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.