English translation not available for this content.
logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

PELANTIKAN NAIB CANSELOR UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA


Sukacita dimaklumkan bahawa YBhg. Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) yang baharu, berkuat kuasa mulai 2 Oktober 2023. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Awam dari The Catholic University of America, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana dalam bidang Pengangkutan dari Imperial College London, UK. Seterusnya beliau telah melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Kedoktoran dalam bidang Pengajian Pengangkutan di University College London, UK.

Beliau telah memulakan kerjaya sebagai pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 2004 dan pernah menyandang jawatan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USM untuk tempoh tiga (3) tahun bermula dari tahun 2017 hingga 2020. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS) dari tahun 2008 hingga 2011.

Hasil kombinasi pengalaman pentadbiran di peringkat universiti awam dan agensi persekutuan, Kementerian yakin YBhg. Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah dapat meletakkan UPM berada di atas landasan sebagai universiti penyelidikan yang memfokus kepada pertanian. Beliau juga dilihat berkeupayaan untuk memacu UPM ke satu tanda aras baharu dalam ekosistem pendidikan tinggi khususnya bagi merealisasikan agenda sekuriti makanan negara.

Kementerian merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YBhg. Dato’ Prof. Dr. Roslan Sulaiman, mantan Naib Canselor yang telah tamat berkhidmat sebagai Naib Canselor UPM pada 31 Ogos 2023 yang lalu.

Kementerian Pendidikan Tinggi
20 September 2023

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media Pelantikan Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM).pdf (79 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 6667
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 08 December 2023, 17:12:30.