English translation not available for this content.
logo kpt blackjpt

KENYATAAN MEDIA

MAJLIS PELANCARAN YAYASAN KEBAJIKAN SISWA KELUARGA MALAYSIA


“SUNTIKAN DANA RM5 JUTA KERAJAAN BAGI YAYASAN KEBAJIKAN SISWA KELUARGA MALAYSIA”

PUTRAJAYA, 29 OKTOBER 2021 – Majlis Pelancaran Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia telah berjaya disempurnakan oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia yang diadakan secara dalam talian dengan mengambil kira pelaksanaan mengikut norma baharu selaras dengan fasa pemulihan Negara susulan dilanda pandemik Covid-19.

Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia ini akan berfungsi sebagai satu badan rasmi yang berupaya mengurus dan menyelaras hal ehwal kebajikan mahasiswa secara bersepadu khususnya dalam konteks penjanaan dan penyaluran dana bantuan kebajikan kepada mahasiswa. Yayasan ini diilhamkan hasil pertemuan perwakilan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) dengan Kepimpinan Tertinggi Negara pada 30 Jun 2020. Sebanyak 11 cadangan telah dikemukakan semasa pertemuan tersebut sebagai agenda memperkasakan mahasiswa yang mana salah satunya merupakan penubuhan Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia.

Terdapat tiga objektif penubuhan Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia ini iaitu untuk mewujudkan satu entiti khusus bagi pengurusan kebajikan dan penyaluran bantuan   secara bersepadu, memperkasa peranan dan kebolehupayaan wakil MPPK serta sebagai satu wahana bagi melaksanakan inisiatif kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa merentasi IPT.

Pelbagai aktiviti telah dirangka dan akan dilaksanakan oleh Yayasan kepada mahasiswa seperti menyelaras bantuan makanan, penyediaan bantuan pembelajaran kepada mahasiswa berkeperluan, penyediaan bantuan fasiliti dan kemudahan pelajar berkeperluan, penyediaan bantuan inisiatif keusahawanan, penyaluran bantuan perubatan dan khairat kematian, meningkatkan taraf pendidikan dan kualiti pelajar, bantuan aktiviti dan pembangunan pelajar serta turut menjadi medium pemerkasaan kepimpinan mahasiswa.

Peranan pelbagai pihak turut diperkukuh menerusi jaringan kerjasama strategik antara IPT, Kementerian, agensi, jabatan, yayasan, NGO, GLC, individu, pihak swasta, industri, serta pihak korporat termasuklah pertubuhan dan persatuan.

Penaung bagi Yayasan ini adalah YAB Perdana Menteri dan akan diterajui oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia yang terdiri daripada Pengurusan Tertinggi Kementerian Pengajian Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, wakil Pengurusan Tertinggi  IPT, MPPK serta Alumni MPPK.

Atas dasar keprihatinan, kepekaan dan komitmen berterusan untuk memelihara kebajikan serta kesejahteraan para mahasiswa juga, Kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan dana permulaan sebanyak RM5 juta kepada Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia menerusi Kementerian Kewangan sebagai sokongan bagi memastikan kelangsungan operasi dan matlamat penubuhannya tercapai.

Diharapkan dengan penubuhan Yayasan ini bukan sahaja dapat memantap dan menambahbaik kecekapan dalam pengurusan berkaitan kebajikan mahasiswa tetapi juga melahirkan pemimpin mahasiswa yang berkaliber dan berketerampilan selaras dengan visi penubuhan Yayasan iaitu “Menjamin Kesejahteraan Mahasiswa bagi Melahirkan Graduan Holistik”.

Kementerian Pengajian Tinggi
29 Oktober 2021

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media Majlis Pelancaran Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia (120 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 13197
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 14 June 2024, 19:20:56.