KENYATAAN MEDIA
LALUAN KEMASUKAN PELAJAR LEPASAN DI LUAR SISTEM
PENDIDIKAN KEBANGSAAN KE INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI
AWAM
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited memastikan akses pendidikan tinggi yang inklusif, adil dan berkualiti kepada semua pelajar yang berkelayakan untuk melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) di negara ini selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri, beberapa ketetapan berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan, iaitu daripada aliran sekolah atau institusi tahfiz, sekolah swasta dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) ke IPTA telah dipersetujui.
Bagi calon-calon daripada aliran tersebut yang turut memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penuh, mereka boleh memohon mana-mana program pengajian yang ditawarkan melalui sistem UPUOnline mengikut kiraan merit berdasarkan pakej matapelajaran yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia serta tertakluk kepada syarat am dan syarat khas program yang ditetapkan oleh universiti melalui proses pemilihan berdasarkan meritokrasi.
Mesyuarat Jemaah Menteri juga bersetuju, bagi calon-calon aliran tersebut yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan diperakui oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, mereka boleh dipertimbangkan untuk mengikuti program-program tertentu di IPTA yang telah dikenal pasti berdasarkan kesesuaian bidang pengajian dan keperluan semasa.
Bagi calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz, antara program yang dikenal pasti ialah:
• Diploma dan Sarjana Muda Dakwah
• Diploma dan Sarjana Muda Al-Quran dan As-Sunnah;
• Sarjana Muda Pendidikan Tahfiz; dan
• Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah).
Manakala bagi calon lepasan SMPC/UEC, antara program yang dikenal pasti ialah:
• Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian;
• Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina;
• Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina; dan
• Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan.
Semua permohonan akan diproses berdasarkan prinsip meritokrasi, syarat kelayakan akademik serta tertakluk kepada ketetapan dan keputusan Senat Universiti.
KPT ingin menegaskan bahawa pendekatan ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkasa akses pendidikan tinggi negara secara lebih inklusif tanpa menjejaskan standard akademik dan kualiti sistem pendidikan tinggi negara.
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
14 MEI 2026
Muat Turun:
- Last updated on .
- Hits: 3656
