Deklarasi Bersama Mengenai Pelancaran Rasmi Perkongsian Penyelidikan "Hubert Curien" Malaysia-Perancis
Perancis dan Malaysia telah bersetuju untuk mewujudkan program pembiayaan bersama pembangunan projek-projek penyelidikan inovatif dan berdaya tinggi. Program "geran sepadan" ini dikenali sebagai "Hubert Curien Partnership France-Malaysia Hibiscus (PHC Hibiscus). Jemputan pertama untuk projek ini akan dikeluarkan pada Februari 2019.
Kerjasama penyelidikan antara Perancis dan Malaysia telah berkembang sejak 35 tahun yang lalu. Dari segi penerbitan dan sitasi, kedua-dua negara telah membuat kemajuan dan peningkatan yang memberangsangkan. Justeru, sudah tiba masa untuk mengetengahkan kerjasama ini dan untuk memperkukuhkan pertukaran dalam bidang sains, teknologi dan sains sosial antara Perancis dan Malaysia atas dasar manfaat bersama.
Perkongsian antara Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kerajaan Perancis ini bertujuan menyokong projek penyelidikan yang dijalankan bersama oleh pasukan Malaysia dan Perancis, terutamanya dengan memudahkan pertukaran pengetahuan antara para penyelidik, pensyarah, pelajar pascasiswazah dan PhD kedua-dua negara. Usaha bersama ini akan membangunkan sinergi antara komuniti penyelidikan kedua-dua negara untuk mewujudkan rangkaian penyelidikan berstruktur dan mapan yang mempunyai piawaian tinggi, diiktiraf di peringkat Eropah dan antarabangsa.
Dalam ucapannya, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir berkata, "kerjasama ini adalah kunci bagi penyelidikan yang berkesan."
"Penyelidikan Malaysia hanya dapat diperkukuhkan apabila institusi penyelidikan kita dapat membangunkan perkongsian antarabangsa yang tepat dan bekerjasama dengan industri. Dari segi penerbitan dan petikan, projek penyelidikan bersama Perancis-Malaysia telah menghasilkan kemajuan yang bermakna dalam bidang sains dan teknologi serta sains sosial."
"Kementerian Pendidikan Malaysia komited untuk terus memacu kerjasama yang saling menguntungkan seperti ini. Kami telah mewujudkan program MyPAiR (Malaysia Partnership & Alliances in Research) untuk tujuan ini," katanya.
MyPAiR menyediakan dana yang hampir sama kepada penyelidik universiti untuk mempercepatkan hasil penyelidikan yang penting dan berkesan.
"Kami berharap kerjasama ini akan membantu membangunkan sinergi antara komuniti penyelidikan kedua-dua negara. Matlamat kami adalah untuk mewujudkan rangkaian penyelidikan berstruktur dan mampan di seluruh dunia, yang diiktiraf kerana kualiti dan kekuatannya oleh komuniti penyelidikan Eropah dan antarabangsa yang lebih luas," kata
beliau.
"Tahniah kepada setiap pihak yang terlibat dalam perkongsian ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang memainkan peranan utama dalam program kami, dalam memastikan kejayaan kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi dan penyelidikan di antara Perancis dan Malaysia," kata beliau lagi.
Kementerian Pendidikan Malaysia
6 Disember 2018
- Last updated on .
- Hits: 9430