Punca kuasa penubuhan, tadbir urus IPT awam terbatal jika AUKU dimansuhkan

English translation not available for this content.

2023 03 09 keratan akhbar

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. - Foto fail BERNAMA

Sumber : Berita Harian

KUALA LUMPUR: Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (AUKU) disifatkan masih penting kerana menjadi punca kuasa yang menghubungkan akauntabiliti institusi pendidikan tinggi (IPT) kepada kerajaan dan masyarakat.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata sekiranya AUKU dimansuhkan, ia akan menyebabkan punca kuasa penubuhan dan tadbir urus sebanyak 20 universiti awam di negara ini terbatal.

"Berdasarkan struktur dan kandungannya, AUKU adalah sebuah akta yang sangat penting dan masih relevan khususnya dalam urusan penubuhan dan pentadbiran universiti.

"Namun, kementerian sebenarnya tidak pernah menolak saranan penambahbaikan AUKU oleh semua pihak," katanya semasa sesi penggulungan usul Belanjawan 2023, di Dewan Rakyat, di sini.

Pada masa sama, Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi kini dalam proses meminda Seksyen 15 AUKU bagi membolehkan mahasiswa menguruskan sendiri urusan akaun dan kewangan mereka.

Beliau berkata, KPT turut bersetuju melakukan sesi libat urus khusus berkenaan dengan AUKU.

"Namun, memandangkan AUKU adalah undang-undang yang membabitkan kepentingan banyak pihak, maka semua pihak akan turut serta.

"Ia membabitkan pentadbiran universiti, ahli akademik dan para penyelidik, wakil mahasiswa, wakil Kementerian, Majlis Profesor Negara (MPN), Akademi Profesor Negara, wakil ibu bapa dan industri serta pihak lain," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini AUKU sudah dipinda sebanyak tujuh kali dengan pindaan terakhir dilakukan pada 2019 bagi memberi kebebasan penuh kepada mahasiswa untuk berpolitik sama ada di dalam mahupun di luar kampus.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, pihaknya memberi jaminan yuran pengajian Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di politeknik tidak akan dinaikkan.

Beliau berkata, yuran pengajian TVET di politeknik kini hanyalah serendah RM200 satu semester.

"Namun seperti saya nyatakan sebelum ini, kadar yuran bagi pengajian TVET di politeknik adalah sudah sangat rendah, maka kita tidak akan dapat memberikannya secara percuma," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata, KPT tidak akan memansuhkan Hal Ehwal Pelajar (HEP) di universiti.

Ini kerana, katanya, HEP mempunyai mandat dan tanggungjawab peringkat makro yang lebih besar antaranya pembangunan mahasiswa, membuka jaringan kerjasama dengan masyarakat dan industri dan merancang strategi meningkatkan kebolehpasaran.

Mengenai Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), peminjam hanya akan memulakan bayaran balik selepas 18 bulan bekerja tertakluk kepada permohonan dan gaji di bawah RM1,800.

Beliau berkata, ini kerana PTPTN sekarang ini sudah memulakan pemberian tempoh bertenang selama 12 bulan.

"Ini bermakna, dengan pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti dalam Belanjawan 2023 bahawa tempoh senggang selama enam bulan bayaran kepada peminjam yang bergaji di bawah RM1,800, peminjam PTPTN hanya akan memulakan bayaran balik selepas 18 bulan bekerja," katanya.

  • Last updated on .
  • Hits: 16481
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Tuesday 18 June 2024, 16:17:02.