YB Timbalan Menteri Rasmi I-PICTL2025 Dan Karnival SULAM@UPM

“SULAM bukan kerja-kerja kesukarelawanan. Ia juga bukan sebuah subjek elektif. Ia sebenarnya, merupakan teras penting kepada visi pendidikan tinggi kita yang berjiwa.”
Demikian ucap Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud semasa merasmikan Karnival Antarabangsa Pengajaran dan Pembelajaran InnoCreative Putra ke-7 (I-PICTL2025) dan Karnival SULAM@UPM 2025 yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM) siang tadi.
Beliau menekankan bahawa pendidikan tinggi masa kini tidak boleh lagi terikat kepada kaedah tradisi, menghadap pensyarah dan lulus peperiksaan semata-mata.
Sebaliknya, universiti perlu menjadi sebuah institusi hidup, terlibat bersama masyarakat dalam membentuk generasi masa depan melalui pembelajaran adaptif serta pengalaman dunia sebenar yang membumi.
Menurut beliau, pendekatan seperti Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) bukan sahaja menghubungkan kurikulum akademik dengan realiti sosial, malah membentuk pelajar yang berempati, bertanggungjawab dan berdaya tahan.
“Graduan kita bukan sahaja perlu berilmu, tetapi juga tangkas, kreatif dan bertanggungjawab secara sosial,” ujarnya.
Karnival I-PICTL2025 yang bertemakan “Pembelajaran Adaptif untuk Dunia yang Berubah: Menghayati Inovasi dalam Pengajaran dan Pembelajaran” merupakan inisiatif penting di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam mendokong agenda reformasi sistem pendidikan tinggi negara.
Penganjuran bersama Karnival SULAM@UPM 2025 pula memperkukuh pelaksanaan Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) sebagai salah satu Amalan Pendidikan Berimpak Tinggi (HIEPs) yang sedang diperluas oleh KPT ke seluruh Institusi Pendidikan Tinggi.
Melalui penglibatan mahasiswa dalam projek komuniti berasaskan kurikulum, SULAM membolehkan pelajar mendalami isu-isu sebenar masyarakat seperti kemiskinan bandar, pembangunan luar bandar, pemerkasaan komuniti dan kelestarian alam sekitar.
YB Timbalan Menteri menyifatkan SULAM sebagai pendekatan yang sejajar dengan nilai-nilai Malaysia MADANI, khususnya Keprihatinan, Inovasi, Kesejahteraan dan Amanah, yang perlu diterapkan secara sistematik dalam sistem pendidikan tinggi negara.
Beliau turut menggesa agar usaha para akademik dalam melaksanakan SULAM diberi nilai sewajarnya dalam proses penilaian prestasi, kenaikan pangkat serta agihan dana penyelidikan.
“Kita mesti memberi nilai kepada usaha ini – dalam penilaian prestasi, kenaikan pangkat dan keutamaan pembiayaan,” tegasnya.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah; Pengarah CADe-Lead, Prof. Madya Dr. Wan Zuhainis Saad; serta lebih 300 peserta yang terdiri daripada pensyarah, pelajar dan wakil komuniti dari dalam dan luar negara.
- Last updated on .
- Hits: 203