YB Menteri Terima Bangunan Baharu Kolej Komuniti Papar
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memperkukuh agenda pendemokrasian akses pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) di Sabah dengan penubuhan Kolej Komuniti Papar, yang bukan sahaja menawarkan program teras dalam bidang Teknologi Maklumat tetapi turut meneroka kepakaran dalam kecerdasan buatan (AI).
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata, penubuhan institusi ini menjadi manifestasi komitmen Kerajaan untuk memberikan peluang pendidikan TVET kepada komuniti luar bandar dan kawasan sekitar Papar.
“Kolej Komuniti Papar ini mempunyai pengkhususan dalam bidang IT dan AI. Saya percaya ramai anak-anak tempatan akan mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik dan sesuai dengan keperluan industri semasa,” ujar beliau pada Majlis Penyerahan Rasmi Bangunan Kolej tersebut pagi tadi.
Projek pembangunan Kolej Komuniti Papar telah bermula sejak Rancangan Malaysia ke-11, 'Rolling Plan' Pertama (2017) dan siap sepenuhnya pada 2 April 2024.
Ia melibatkan kerja naik taraf 10 lot bangunan empat (4) tingkat berkeluasan 4,032.8 meter persegi di Pusat Komersil Sri Alam Perdana di sini.
Kolej ini mampu menampung seramai 360 pelajar dan menawarkan dua (2) program pengajian iaitu Sijil Teknologi Maklumat dan Sijil Perkhidmatan Logistik dengan pengambilan pertama dijadualkan pada Julai 2025.
Menurut YB Menteri, keunikan kampus ini terletak pada konsep ‘Digital Training’ yang menyepadukan ruang akademik dan industri serta menyediakan liputan internet Wi-Fi 100 peratus, sekali gus menjadikannya Kolej Komuniti pertama di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) sebagai kampus pintar atau 'smart campus'.
Beliau turut menekankan keperluan menyediakan fasiliti sokongan seperti asrama di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak, meskipun dasar asal Kolej Komuniti tidak memperuntukkan kemudahan itu.
“Kita sedang menilai keperluan di peringkat tempatan agar Kolej Komuniti ini benar-benar menjadi pusat pembangunan modal insan setempat,” katanya lagi.
Kolej Komuniti Papar turut membuka ruang pembelajaran kepada orang awam menerusi program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH), sejajar dengan matlamat memperkasakan komuniti melalui ilmu dan kemahiran yang relevan.
Dengan siapnya kolej ini, KPT berharap lebih ramai anak muda Sabah akan menyertai bidang TVET yang strategik, sekali gus menyokong pertumbuhan sosioekonomi negeri.
Hadir sama, Timbalannya, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud; serta Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dato' Dr. Haji Mohd Zahari Ismail.
- Last updated on .
- Hits: 2448