YB Menteri Serah Surat Pelantikan Semula TNC UiTM, UMS Dan UniSZA

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menyampaikan surat pelantikan semula kepada tiga (3) orang Timbalan Naib Canselor Universiti Awam di pejabatnya pada petang tadi.
Prof. Ts. Dr. Norazah Abd Rahman menerima surat pelantikan semula sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau yang mempunyai latar belakang akademik dalam bidang Kejuruteraan Kimia telah memainkan peranan yang besar dalam menjayakan agenda penyelidikan, pembangunan, inovasi dan pengkomersialan di UiTM.
Seterusnya, Prof. Madya Dr. Raman Noordin dan Dato’ Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hafiz Yusoff turut menerima surat pelantikan semula masing-masing sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Kedua-dua mereka telah menyumbang secara signifikan kepada Agenda Pemerkasaan Mahasiswa yang digerakkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi selain daripada telah berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif dan program kemenjadian mahasiswa di peringkat universiti masing-masing dalam mencorak keperibadian unggul dan menggilap potensi diri.
Pelantikan semula Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UiTM berkuat kuasa mulai 22 November 2024. Manakala pelantikan semula Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniSZA adalah masing-masing berkuat kuasa mulai 15 November 2024 dan 15 Disember 2024.
Ketiga-tiga pelantikan semula ini adalah signifikan dalam memastikan kesinambungan kecemerlangan pembudayaan ilmu berteraskan penyelidikan dan inovasi serta pemerkasaan mahasiswa universiti dalam melahirkan modal insan negara yang kalis masa depan.
Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman.
- Last updated on .
- Hits: 393